SEPANG - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengenal pasti punca seorang bapa tergamak menikam bayi perempuannya yang berusia 18 bulan di sebuah flat di Puchong Permai semalam.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya sedia memberikan perlindungan kepada bayi malang itu dan pada masa yang sama, siasatan akan dibuat terhadap ahli keluarga mangsa.
"Ini kerana yang menikam itu adalah ayah kandung mangsa dan ia satu perkara yang sepatutnya tidak berlaku tetapi secara keseluruhannya, kita kena lihat apa punca utama (kejadian itu berlaku) kerana kita tidak mahu kejadian ini berlaku kepada keluarga yang lain," katanya.
Beliau berkata, adalah penting untuk ahli keluarga terdekat memainkan peranan sekiranya menyedari ahli keluarga mereka menunjukkan perubahan dari segi tingkah laku.
"Kalau emak dia dah rasa (ada) perbezaan contohnya, cepat-cepatlah dapatkan bimbingan kaunseling dan sebagainya," kata beliau selepas menghadiri program Kembara Prihatin Negara di Pangsapuri Cempaka, Pulau Meranti di sini hari ini.
Bapa bayi malang itu yang berumur 27 tahun telah ditahan polis dan sebilah pisau pemotong roti turut dirampas dipercayai digunakan untuk menikam perut mangsa.
Siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana mengamuk dan ujian air kencing telah dibuat bagi mengenal pasti sama ada lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah.
Mangsa kini dirawat di Hospital Serdang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Mengenai program Kembara Prihatin Negara, Rina berkata, pihaknya telah menjelajah ke 76 daerah di seluruh negara yang melibatkan kerjasama dan sokongan 44 pertubuhan bukan kerajaan dan 25 badan korporat bagi membantu serta menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi 18 bulan parah ditikam bapa