BIARPUN terikat tanpa jaringan pada aksi derby berdepan Manchester United di Old Trafford semalam, pengendali Manchester City, Pep Guardiola tetap melihatnya sebagai pencapaian yang baik bagi skuad The Citizens itu.
Menurutnya, kesebelasan City telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan, namun terpaksa akur dengan aksi hebat skuad The Red Devils itu.
"Bagi saya, keputusan ini agak baik. Sememangnya kami mahukan kemenangan tetapi keputusan seri ini masih boleh diterima. Lagipun, kami beraksi di Old Trafford di mana semua pemain United begitu pantas.
"Bagaimanapun, kami juga turut beraksi dengan baik pada perlawanan itu cuma kurang mendapat peluang menjaringkan gol.
"Apa pun saya tetap bangga kerana mereka (Manchester United) adalah pasukan yang kuat, pantas selain memiliki kemahiran dari segi set piece,” katanya.
Sementara itu, Guardiola mengakui skuad The Citizens itu sememangnya ‘merindui’ aksi penyerang terbaiknya, Sergio Aguero yang tidak dapat diturunkan pada aksi derby berkenaan.
Katanya, penyerang Argentina itu masih dibelenggu masalah kecederaan dan hanya sempat beraksi dalam lima perlawanan musim ini.
"Kita sememangnya ‘menagih’ khidmat Aguero sejak enam bulan lalu, bukan pada hari ini sahaja kerana dia seringkali mengalami kecederaan.
"Kami menyifatkannya sebagai penyerang terbaik dalam sejarah City namun kami tetap akur terpaksa beraksi tanpanya,” katanya.