Beberapa ahli Parlimen kerajaan, pembangkang jalani kuarantin

Iklan
Azhar Azizan Harun. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Minggu terakhir sidang Dewan Rakyat menyaksikan beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dikenakan Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas menjadi kontak rapat individu positif Covid-19.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan perkara itu namun tidak dapat memperincikan jumlah mereka yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Saya dengar ada (yang diperintah jalani HSO) tetapi saya tidak tahu berapa ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba diperintah menjalani HSO sehingga 18 Disember susulan menjadi kontak rapat kepada seorang petugas media swasta yang didapati positif Covid-19 dan bergejala.

Iklan

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan juga menjalani HSO selama dua minggu mulai Jumaat lepas setelah bertemu pegawai kanan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang disahkan positif Covid-19.

Dalam pada itu, Azhar berkata Ahli Parlimen berkenaan boleh hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi pengundian Belanjawan 2021 jika mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Iklan

"Mereka akan dibenarkan datang mengundi sekiranya mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Kesihatan dan mematuhi apa-apa syarat yang dikenakan,” katanya.

Peruntukan belanjawan bagi baki lima lagi kementerian dijadual dibahas untuk kelulusan di peringkat jawatankuasa pada Isnin dan Selasa ini sebelum bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung selama 29 hari bermula pada 2 November lepas dan akan berakhir pada Khamis ini. - Bernama