Jumlah pelancong di Langkawi meningkat

Iklan
Mahathir beramah mesra dengan pengunjung di Jeti Kuah ketika lawatannya di Pulau Langkawi kelmarin. FOTO IHSAN FB DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

ALOR SETAR - Jumlah pengunjung di Pulau Langkawi mencatatkan peningkatan selepas kerajaan mula membenarkan aktiviti rentas negeri pada 7 Disember lalu.

Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abd Razak berkata, peningkatan pelancong itu juga selaras dengan penambahan trip feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis selain penerbangan dari Kuala Lumpur ke pulau lagenda berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi itu sangat berbeza jika dibandingkan ketika kerajaan mengenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

"Ini kerana pelancong yang datang bercuti di Pulau Langkawi kebanyakannya dari kawasan Lembah Klang, sebab itu selepas dibenarkan merentas negeri mereka mengambil kesempatan untuk bercuti di pulau ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, peningkatan pelancong itu juga didorong oleh promosi hebat yang diperkenalkan oleh pemilik hotel di pulau terbabit.

Mahathir beramah mesra dengan pengunjung di Jeti Kuah ketika lawatannya di Pulau Langkawi kelmarin. FOTO IHSAN FB DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

"Saya difahamkan bilik hotel di Pantai Chenang mulai penuh sejak 7 Disember lalu. Promosi ini akan dilanjutkan sehingga hujung bulan ini dan kemungkinan besar akan disambung sehingga pertengahan tahun hadapan.

Iklan

"Ini merupakan perkembangan positif buat sektor pelancongan di negeri ini terutamanya bagi penduduk setempat dan kita sedang mengumpul data untuk melihat trend kemasukan pelancong ke pulau berkenaan.

"Bagaimanapun saya ingin mengingatkan pengunjung dan pengurusan hotel mahupun restoran agar tidak alpa dalam menjaga SOP seperti menjaga jarak sosial dan mengelakkan kawasan yang sesak," katanya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Langkawi Tun Mahathir Mohamad dalam hantaran di Facebooknya melahirkan kesyukuran selepas melihat Jeti Kuah kembali meriah dengan kehadiran pengunjung berbanding seminggu yang lalu.

Katanya, kehadiran pelancong pasti menggembirakan penduduk Langkawi kerana ekonomi masyarakat setempat banyak bergantung kepada sektor pelancongan.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara dibenarkan mulai 7 Disember kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).