Status Presiden PAFA cetus tanda tanya

Iklan
Ahmad Faizal

"Terpulang kepadanya untuk buat keputusan.” Itu reaksi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika diminta mengulas senario yang berlaku dalam saf kepimpinan PAFA ketika ini.

Jawatan Presiden PAFA yang masih dipegang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kini menjadi bualan hangat para peminat dan penyokong bola sepak Perak selepas beliau tidak lagi memikul tugas sebagai Menteri Besar Perak.

Iklan
Iklan

Zainol Fadzi yang baru dilantik sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak berkata, Ahmad Faizal berhak membuat keputusan sama ada untuk terus menjawat jawatan berkenaan atau melepaskannya kepada pihak lain.

Malah, beliau yang menerajui PAFA dari 12 Mei 2010 hingga 4 Oktober 2015 memberitahu, Ahli Majlis PAFA juga perlu membuat keputusan dan menyatakan pendirian mereka berhubung polemik yang timbul.

Iklan

"Beliau (Ahmad Faizal) terima jawatan (Presiden PAFA) sebelum ini pun atas sebab memenuhi tradisi yang mana seseorang Menteri Besar itu secara automatik dilantik sebagai Presiden PAFA.

"Jadi kini terserah kepada beliau sama ada mahu meneruskan tanggungjawab selaku Presiden PAFA atau melepaskan jawatannya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Pada masa sama, Zainol Fadzi menegaskan bahawa beliau tidak pernah memikirkan soal untuk kembali menerajui PAFA, sebaliknya mahu memberikan fokus kepada tugasnya selaku Exco.

"Saya memang tidak berminat untuk kembali bersama PAFA. Sekarang ini keutamaan saya adalah untuk menjalankan tugas-tugas saya selaku Exco negeri Perak,” jelasnya.

Bekas Timbalan Presiden PAFA, Datuk Shahrul Zaman Yahya pula berpandangan Ahmad Faizal wajar kekal menerajui PAFA bagi membantu melancarkan pengurusan baharu Perak FC kelak.

"Takkanlah disebabkan keadaan politik hari ini, setiap kali bertukar kerajaan, setiap kali itu juga (kepimpinan) PAFA nak bertukar? Tak semestinya bila kerajaan berubah, semua kena tukar kerana kerajaan negeri dan PAFA adalah dua entiti berbeza.

"Perak FC pula adalah sebuah syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya dua pengarah dan ia dimiliki 100 peratus oleh PAFA, sudah tentulah kepimpinannya datang daripada kepimpinan PAFA.

"Cuma dari segi pengurusannya, ia memerlukan golongan profesional seperti ahli perniagaan atau sebagainya,” jelasnya yang turut dilantik sebagai salah seorang daripada lima Exco di bawah kepimpinan Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Saarani Mohamad.