Shafie optimis Sabah antara negeri ekonomi stabil

Iklan
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew menghulurkan duit angpau kepada golongan warga emas yang menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina hari ini. Foto: Bernama

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin kerjasama daripada rakyat Sabah termasuk pelabur ke negeri ini mampu meningkatkan pembangunan ekonomi Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memainkan peranan bagi memastikan ekonomi di negeri ini terus berkembang serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Iklan
Iklan

"Saya yakin bukan hanya kerajaan negeri, bahkan pelabur yang ada ini boleh membantu rakyat negeri ini kerana kita perlu pembangunan di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Dewan Hakka, di sini, hari ini.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni turut berangkat memeriahkan sambutan yang dihadiri kira-kira 7,000 masyarakat pelbagai kaum di Sabah. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, Speaker Dewan Undangan Negeri Syed Abas Syed Ali, Menteri Persekutuan dan anggota Kabinet negeri.

Iklan

Mohd Shafie berkata, walaupun negara menghadapi ekonomi yang mencabar namun beliau optimis ekonomi Sabah antara negeri yang berada dalam keadaan stabil.

Dalam usaha untuk meningkatkan lebih ramai pelabur di Sabah, beliau akan mengadakan lawatan ke beberapa buah negara antaranya China, Jepun dan Eropah selain menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Iklan

"Apabila rakyat mempunyai pekerjaan, mereka dapat duit, kerajaan tidak perlu beri bantuan sara hidup (BSH) dan saya yakin ini dapat kita jayakan bersama,” katanya.

Mengenai sambutan rumah terbuka itu, Mohd Shafie berkata, perayaan itu menjadi landasan untuk mengeratkan ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat di Sabah. Manakala perbezaan dalam kepelbagaian budaya itu menjadikan masyarakat negeri ini lebih mengenali antara satu sama lain."Sesebuah negeri tidak akan membangun jika sentiasa menimbulkan masalah berkaitan kaum dan agama, sebaliknya kita bercerita bagaimana mahu membangunkan negeri ini dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Liew berkata, Sabah telah menjadi destinasi popular kepada pelancong apabila tibanya cuti panjang seperti Tahun Baharu Cina.

"Kami berharap agar mereka menikmati pengalaman dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai negeri kita melalui konsep rumah terbuka ini,” katanya. - Bernama