Arjunaidi dilantik pemangku Ketua Polis Selangor

Iklan
ARJUNAIDI

SHAH ALAM - Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Selangor berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas berkenaan daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin yang akan bersara wajib esok.

Iklan
Iklan

Majlis serah terima tugas antara Noor Azam dengan Arjunaidi dilakukan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini, disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya.

Dalam pada itu, Noor Azam menzahirkan penghargaannya terhadap kerjasama dan komitmen warga polis kontinjen Selangor yang banyak membantunya semasa menyandang jawatan ketua polis negeri.

Iklan

"Pengalaman dan nasihat daripada anggota dan pegawai dalam polis Selangor terutamanya Arjunaidi banyak membantu menangani kes-kes dan isu di negeri ini," katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Pada masa sama, Noor Azam turut menasihatkan warga polis kontinjen Selangor supaya terus patuh dengan arahan yang diberikan kerana ia bertujuan untuk meletakkan mereka semua pada landasan yang betul.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Arjunaidi sebagai pemangku Ketua Polis Selangor, Zamri berkata, ia dibuat berikutan Bukit Aman belum lagi memuktamadkan calon untuk menyandang jawatan berkenaan. - Bernama