SHAH ALAM - Pemuda UMNO menerima lebih 2,000 aduan rakyat berhubung pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium pinjaman secara automatik.
Menurut ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, aduan tersebut didapati daripada pelbagai platform termasuk Facebook, Twitter dan WhatsApp serta panggilan telefon.
Tambahnya, walaupun skim i-Sinar telah ditambah baik beberapa kali namun Pemuda UMNO tetap dengan pendirian bahawa kriteria yang ditetapkan untuk permohonan di bawah kategori dua dalam skim i-Sinar tidak adil dan tidak wajar.
"Justeru, kriteria ini haruslah dimansuhkan sepenuhnya supaya ahli KWSP yang berada dalam kesusahan dan memerlukan akses kepada simpanan mereka dibenarkan untuk membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dalam tempoh masa yang paling singkat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Mansuh syarat i-Sinar: Asyraf Wajdi sudah hubungi CEO KWSP
Pada masa sama, beliau turut menerima beberapa laporan mengenai permohonan di bank bagi tujuan lanjutan moratorium pinjaman.
Menurutnya, terdapat bank tertentu tidak memenuhi janji Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam penggulungan Belanjawan 2021 pada bulan lalu.
"Antara aduan yang diterima termasuk bank tidak memberi jawapan kepada pemohon dalam tempoh yang munasabah.
"Walaupun Menteri Kewangan berjanji kelulusan secara automatik bagi golongan B40, M40 dan perniagaan kecil dan sederhana (PKS), namun bank masih memerlukan pelbagai dokumen sokongan untuk diserah.
"Tempoh bayaran pinjaman juga ditambah dua hingga empat tahun lagi bagi mereka yang meminta moratorium,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat yang mengalami masalah semasa meminta lanjutan moratorium pinjaman dan pengeluaran KWSP supaya terus menyalurkan aduan dengan terperinci.
"Insya-ALLAH, kami akan kumpulkan semua aduan untuk makluman Kementerian Kewangan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada perubahan kriteria i-Sinar buat masa ini: KWSP
Ini tiga sebab kenapa rakyat nak sangat wang KWSP
'Isu KWSP timbul kerana rakyat sudah tidak ada duit'