'Jangan percaya khabar angin'

Iklan
ADLY SHAH

IPOH - Penyokong dan peminat The Bos Gaurus diminta bersabar serta tidak mempercayai sebarang khabar angin mengenai berita Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Adly Shah Ahmad Tah akan meletak jawatan.

Naib Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata buat masa ini, tiada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Adly Shah berkenaan perkara tersebut kepada pihak persatuan.

Iklan
Iklan

Muhammad Yadzan turut mengakui beliau sendiri terkejut dengan khabar angin itu dan telah cuba menghubungi Adly Shah, namun gagal.

"Risau ada orang buat cerita sebab saya sendiri tidak dimaklumkan apa-apa. Saya cuba hubungi dia beberapa kali, tetapi tak dapat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Iklan

Beliau mengulas tular di media sosial yang memetik seorang pengulas sukan sebuah stesen televisyen yang menyatakan Adly Shah dijangka mengumumkan peletakan jawatan dalam masa terdekat.

Muhammad Yadzan menyifatkan Adly Shah sebagai seorang yang komited dan mempunyai visi dalam memastikan Perak menjadi salah sebuah pasukan terbaik dalam arena bola sepak tempatan, namun PAFA akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat.

Iklan

Katanya, di bawah pengurusan Adly Shah juga, The Bos Gaurus berjaya muncul juara Piala Malaysia pada 2018 dan naib juara Piala FA 2019.

"Jadi peminat perlu sabar kerana sejarah dah terbukti, di bawah kepimpinan beliau banyak kejayaan telah dikecapi dan kalau diberi peluang dan kekuatan Datuk Adly Shah memimpin, mungkin tahun depan lebih hebat lagi,” katanya.

Pada musim ini, The Bos Gaurus menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah dan Terengganu FC (TFC). - Bernama