Tambah pembelian vaksin jalan terbaik bendung Covid-19

Iklan

KUALA LUMPUR - Cadangan kerajaan dalam meningkatkan pembelian vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi kepada 70 peratus rakyat, dilihat jalan terbaik dalam membendung penularan pandemik tersebut di negara ini.

Pakar Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Buloh Dr Rosnida Mohd Noh berkata, langkah kerajaan itu dilihat bertepatan dengan situasi negara pada masa ini terutamanya bagi mewujudkan imuniti kelompok.

Iklan
Iklan

Beliau berkata imuniti kelompok itu adalah baki 30 peratus rakyat yang akan terlindung jika 70 peratus rakyat mempunyai perlindungan vaksin Covid-19.

"Kita lihat tujuan penambahan vaksin ini boleh memberi liputan sehingga 70 peratus rakyat adalah satu keputusan yang sangat baik.

Iklan

"Tujuannya adalah untuk menghasilkan imuniti kelompok atau herd immunity untuk melindungi golongan yang tidak dapat menerima vaksin Covid-19 seperti kanak-kanak dan ibu mengandung,’’ katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Rosnida mengulas cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam agar pembelian vaksin Covid-19 ditingkatkan bagi menampung keperluan imunisasi hingga 70 peratus rakyat berbanding kuantiti asal sebanyak 30 peratus.

Iklan

Muhyiddin berkata ini kerana ada negara yang sudah membeli vaksin itu dengan sesetengahnya memperoleh dalam kuantiti yang banyak melebihi jumlah penduduk mereka sendiri.

Dr Rosnida berkata, apabila ada penambahan jumlah penerima vaksin itu, ia secara tidak langsung akan mengekang golongan yang tidak boleh menerima vaksin tersebut daripada dijangkiti virus berkenaan.

Senada dengannya, Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Doktor Kesihatan Am Hospital Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun yang menyifatkan Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kepakaran dalam menentukan vaksin yang diperlukan rakyat negara ini.

‘’Vaksin ini akan diberikan kepada mereka yang sihat sebagai langkah awal pencegahan daripada terlindung atau dijangkiti oleh Covid-19, jadi apabila ada ramai menerima vaksin, kebolehjangkitan terhadap virus ini juga berkurang dalam kalangan kita.

‘’Harus diingat, vaksin ini akan diterima secara berperingkat dan tidak semua rakyat akan menerimanya secara serentak. Jadi apabila ada pihak yang belum menerima vaksin itu, kemungkinan wujudnya kes pasti akan timbul,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan dalam menambah jumlah pembelian vaksin tersebut namun ujian ke atas vaksin perlu dilakukan bagi menentukan keberkesanannya.

‘’Harapan kita pada vaksin ini akan dapat beri manfaat terutamanya kepada petugas hadapan secara menyeluruh walaupun hasilnya kita belum pasti.

‘’Vaksin ini adalah vaksin baharu jadi banyak kajian yang kita perlu lakukan termasuklah mendapatkan data-data dari negara lain yang turut menggunakan vaksin yang sama,’’ katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu memainkan peranan proaktif dalam menentukan status halal bagi vaksin tersebut supaya ia tidak diragui oleh masyarakat Islam negara ini.

"Sebenarnya, pematuhan kepada SOP (Prosedur Operasi Standard) yang paling utama, apabila semua menjaga SOP secara tidak langsung ia akan mengekang diri kita daripada dijangkiti virus berkenaan,’’ tambahnya. - Bernama