PADA saat pandemik Covid-19 semakin membarah, polemik perebutan kuasa di peringkat kerajaan negeri dan Pusat masih tidak menampakkan tanda-tanda akan berhenti.
Selepas krisis pembentukan kerajaan baharu di Perak menyaksikan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terpaksa meletakkan jawatan Menteri Besar Perak, kini timbul satu lagi spekulasi lebih mengejutkan.
Terbaharu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa sekali lagi memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 113 ahli Parlimen, termasuk 10 ahli Parlimen daripada UMNO dalam bentuk akuan bersumpah (SD), sejak seminggu lalu.
Dakwaan sokongan SD terbaharu diterima Anwar itu merupakan kali kedua pada tahun ini selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mengumumkan beliau memiliki angka sokongan ‘kukuh’ dan ‘menyakinkan’ pada 24 September lalu, dua hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Meskipun dakwaan itu kemudiannya dinafikan beberapa pemimpin dikaitkan termasuk pejabat Ketua Pembangkang sendiri, namun kesahihannya masih dilihat berasas.
Lebih menarik, polemik terkini itu turut dianggap sebagai faktor utama dua figura besar politik tanah air, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, berganding bahu buat kali pertama bagi mengadakan sidang akhbar bersama di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur pada Isnin.
Bahkan, Dr Mahathir turut tidak menolak kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tumbang pada proses pengundian bacaan ketiga usul Belanjawan 2021 dijangka diadakan hari ini atau Rabu.
Meskipun beliau bersama Tengku Razaleigh atau Ku Li mengumumkan kerjasama untuk membantu kerajaan baharu yang berkemungkinan terbentuk pada hari ini, adakah gandingan tokoh politik veteran itu benar-benar mahu menyelamatkan negara?
Atau mereka sekadar mahu menggagalkan pembentukan kerajaan baharu yang bakal diterajui Anwar, sekali gus memberi ‘talian hayat’ kepada Muhyiddin secara tersirat?
Berdasarkan situasi politik semasa, apabila gandingan Dr Mahathir-Ku Li ini terbentuk secara mengejut, beberapa pemerhati politik bersependapat gerakan political will untuk membentuk kerajaan baharu ditunjangi Anwar sememangnya berlaku.
Pancing sokongan
Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menjelaskan, Dr Mahathir dan Ku Li pastinya sudah menghidu sebarang pergerakan politik berlaku ketika ini.
"Bagi saya, kenyataan mereka perlu dipandang berat dan saya pasti gandingan veteran ini turut berusaha memancing sokongan ahli Parlimen pada saat proses itu masih berlaku pada setiap masa.
"Saya juga berpandangan Tun (Dr Mahathir) atau Ku Li mahu memberi peringatan agar peranan mereka sebagai ahli politik lama tidak dilupakan oleh pihak bakal membentuk kerajaan baharu. Walaupun tidak semestinya mereka kena jadi menteri kanan atau menteri mentor,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ditanya sama ada kenyataan Dr Mahathir mengajak 220 ahli Parlimen memilih membentuk kerajaan berkepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi sebagai usaha mewujudkan kerajaan perpaduan, Awang Azman bagaimanapun memberi pandangan berbeza.
"Saya tidak anggap gesaan Tun M dan Ku Li itu untuk bentuk unity government, tetapi bentuk kerajaan baharu lebih sesuai adalah kerajaan campuran.
"Soal sama ada parti-parti dalam kerajaan PN sebelum ini bersedia meneruskan kerjasama dengan Anwar, saya berpendapat dalam politik tiada yang mustahil dengan sentimen kepartian perlu dikikis bagi mewujudkan kerajaan bersifat people centric.
"Semua parti dalam PN berkemungkinan boleh menyertai kerajaan campuran yang akan diketuai parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), bahkan di pihak pembangkang, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Muda Malaysia juga tidak mustahil melakukan perkara sama,” katanya.
Di sebalik spekulasi kerajaan PN tumbang semakin kuat diperkatakan, Awang Azman tidak mengenepikan kemampuan Muhyiddin untuk mempertahankan kerajaan sedia ada.
"Saya yakin PN tidak akan menyerah dengan mudah kerana pertarungan mempertahankan kerajaan ibarat do or die bagi pemimpin politik seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Annuar Musa dan Muhyiddin sendiri,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan berisiko tumbang esok: Dr Mahathir
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengakui dakwaan Anwar menerima sokongan SD Ahli Parlimen UMNO bukan lagi satu perkara rahsia.
"Berdasarkan maklumat diterima, pejabat Perdana Menteri sendiri sudah menghidu perkara ini sejak dua, tiga minggu lalu, cuma kepimpinan parti masih tidak dimaklumkan usaha Tan Sri Muhyiddin untuk menghalang kerajaan tumbang. Saya yakin mesti ada plan.
"Cuma memang ada keresahan dalam kalangan akar umbi Bersatu.
"Kita mungkin tidak akan menghalang perkara dibenarkan Perlembagaan Persekutuan, tetapi perkara ini tidak akan semudah disangka dengan mandat mungkin dikembalikan kepada rakyat atau proklamasi darurat kali ini terpaksa menjadi kenyataan,” katanya.
Tidak mengejutkan
Mengulas mengenai gerakan politik terbaharu Dr Mahathir-Ku Li yang bergandingan buat kali pertama semalam, Muhammad Faiz memberikan pandangan amat menarik.
"Sidang akhbar Dr Mahathir-Ku Li sebenarnya tidaklah mengejutkan kerana mereka akan muncul apabila Anwar muncul dengan gerakan politik terkini.
"Secara peribadi, saya berpendapat mereka sebenarnya lebih melihat Anwar sebagai ancaman berbanding Tan Sri Muhyiddin. Jadi secara tersirat, tidak mustahil gerakan mereka lebih untuk menstabilkan kerajaan sedia ada berbanding menjatuhkannya,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Faiz mengakui sekiranya kerajaan PN benar-benar tumbang dengan Anwar akhirnya mempunyai angka sokongan diyakini, rakyat lambat-laun akan mengetahui siapa ahli Parlimen ‘petualang’ yang memberikan sokongan SD kepada Anwar.
"Kalau PN dijatuhkan oleh kelompok pemimpin UMNO tertentu yang menyokong Anwar, saya tidak menolak kemungkinan Muhyiddin akan dedahkan apa yang beliau cuba tahan selama ini.
"Saya yakin Perdana Menteri akan mula agresif dan mendedahkan permainan politik segelintir elit politik kerana Bersatu pun sebenarnya muak dengan politik ugut-mengugut puak-puak ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran daripada DAP mengakui ujian keabsahan sokongan ahli Parlimen terhadap kerajaan Muhyiddin akan benar-benar teruji pada proses pengundian bacaan ketiga Usul Belanjawan 2021 hari ini atau Rabu.
Dengan nada yakin, Naib Presiden DAP itu turut menjelaskan kerajaan PN akan dibuktikan tiada sokongan majoriti, buat kali pertama.
"Dari mula PN menerajui kerajaan, pandangan kita (DAP) mereka tidak ada (sokongan) majoriti. Maknanya esok mereka akan terbukti tiada majoriti,” katanya.
Ditanya sama ada beliau yakin kerajaan baharu akan ditubuhkan pada esok atau Rabu, Kulasegaran enggan mengulas lanjut dan meminta Sinar Harian mendapatkan pengesahan daripada Anwar sendiri.
"Itu kena tanya Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sendiri,” ujarnya.