SHAH ALAM -"Kita berjuang untuk anak-anak Semenyih. Biar kita kalah , tapi tak kalah kebajikan."
Demikian iltizam Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia (CP), Kuan Chee Heng selepas mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Dun Semenyih.
Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, niat beliau untuk bertanding pada PRK berkenaan bukanlah untuk mengejar kedudukan mahupun wang ringgit namun demi kebajikan anak-anak Semenyih yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
"Saya bertanding ini demi anak-anak Semenyih yang lapar dan sakit. Kalau saya tak menang pun, biarlah anak-anak Semenyih menang," katanya menerusi ruangan komen Facebook Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN:Uncle Kentang umum bertanding PRK Semenyih
ARTIKEL BERKAITAN:PRK Dun Semenyih: Mampukah Uncle Kentang beri saingan?
Uncle Kentang semalam mengumumkan untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi PRK Dun Semenyih Mac ini.
Beliau memaklumkan akan membuat akujanji secara bersumpah, di mana beliau akan menunaikan segala yang dijanjikan jika dipilih sebagai wakil rakyat di Semenyih.
Menurut Uncle Kentan, beliau berasa sedih kerana kebanyakan calon sebelum ini berjanji macam-macam kepada penduduk Semenyih namun menghilangkan diri selepas PRU dan tidak mengendahkan pengundi.
Justeru, beliau akan mengambil langkah pertama iaitu membuat akujanji bersumpah sebagai tanda kerjasamanya sebagai calon Bebas di Semenyih.
Pada 18 Januari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
menetapkan PRK Dun Semenyih diadakan pada 2 Mac depan dan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.
PRK Dun Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya PH, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Pada PRU14 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Bakhtiar mengalahkan Johan daripada Umno yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.
Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.