JAKARTA - Perkahwinan mempelai dari Bekasi, Jawa Barat iaitu Rizki Muhammad dan Indi Nita Sari tular di media sosial gara-gara maharnya sepasang ikan betta bernilai Rp2.5 juta (RM7,157).
Rizki, 21, memberikan mas kahwin itu kepada isterinya berusia 25 tahun pada majlis pernikahan yang berlangsung pada 13 Disember lalu.
Menerusi laporan Tribun News, ikan betta kesayangan Rizki yang dijadikan mahar itu adalah jenis Blue Rim Thailand.
"Hobi saya membela ikan betta dan tidak sangka kini bertukar kepada perniagaan.
"Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, saya tiada pekerjaan. Jadi, saya terfikir untuk menjadikan hobi ini sebagai salah satu punca pendapatan," katanya ditemui di rumah isterinya di kampung Sumur Batu.
Rizki berkata, pada mulanya Nita terkejut mendengar hasratnya untuk memberi mahar ikan betta.
"Namun selepas memberi penjelasan, dia bersetuju termasuk keluarganya.
"Selain ikan betta, saya juga ada barangan lain sebagai hantaran. Bukan semata ikan ini sahaja, wang tunai dan emas turut diberikan," katanya.
Rizki berkata, perniagaannya semakin maju dan pernah menjual ikan betta jenis avatar dengan harga Rp3.5 juta (RM10,000).
"Saya muat naik gambar gambar ikan di Instagram dan jika mereka berminat, boleh datang terus ke rumah atau saya akan membuat penghantaran.
"Setakat ini, saya telah melebarkan perniagaan ini sehingga ke Bandung dan Jakarta.
"Alhamdulillah, perniagaan bertambah baik kerana ikan betta ini memiliki keunikannya tersendiri," katanya.