Selangor sasar lahir 200,000 usahawan IKS berasaskan digital

Iklan
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM - Platform SME Smart Selangor yang dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menyasarkan untuk melahirkan 200,000 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan digital menjelang 2025.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, platform itu dibangunkan untuk memacu pertumbuhan perniagaan dan peningkatan prestasi pengusaha IKS di Selangor melalui automasi pengurusan dan operasi perniagaan, pengembangan menerusi pemasaran digital dan juga e-dagang.

Iklan
Iklan

Amirudin berkata, pihaknya berharap platform berkenaan dapat memberdayakan peniaga dan pengusaha IKS di sekitar Lembah Klang.

"Menerusinya, peniaga bukan sahaja dapat mengembangkan perniagaan melalui pengupayaan digital. Mereka akan dibimbing untuk memajukan perniagaan ke tahap lebih tinggi contohnya dari perniagaan berstatus mikro ke IKS dan seterusnya mencapai tahap syarikat yang mampu bersaing dengan pemain industri lain.

Iklan

"Saya menyeru pengusaha perniagaan dan IKS merebut peluang yang tersedia ini dengan mendaftar butiran perniagaan mereka di laman sesawang https://www.smartselangor.com.my/services/smartsme/,” katanya.

Menurut Amirudin, matlamat utama kerajaan negeri adalah untuk memangkin pertumbuhan IKS berasaskan digitalisasi melalui bantuan pemasaran dalam talian, peningkatan jualan dan keuntungan serta peningkatan produktiviti.

Iklan

Katanya, ketika ini SSDU telah membangunkan suatu pengkalan data merangkumi hampir 7,000 peniaga dan 20 rakan kongsi swasta untuk operasi marketplace dan penghantaran bagi menjayakan pengoperasian pembangunan ekosistem ekonomi digital yang lebih tersusun di Selangor.

"Pengumpulan data secara berpusat melalui platform ini akan dapat membantu kerajaan mengikuti perkembangan IKS dan mengenalpasti keperluan golongan itu untuk merencanakan bantuan yang lebih bersasar dan berkesan.

"Platform ini dijangka dapat melahirkan seramai 200,000 IKS berasaskan digital pada tahun 2025 nanti,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, setelah hampir empat tahun program Smart Selangor dilancarkan, kerajaan negeri terus komited menjayakan visi menjadikan Selangor negeri pintar yang berdaya huni di rantau ASEAN menjelang 2025.

Dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai tonggak utama kejayaan Smart Selangor, kerajaan negeri melalui SSDU mempertingkatkan lagi pembangunan dan pelaksanaan inisiatif pintar lebih-lebih lagi pada ketika rakyat sedang mengalami kesukaran akibat Covid-19.

"Penularan pandemik ini secara tidak langsung merancakkan penggunaan infrastruktur digital dan membuktikan inisiatif digital yang diperkenalkan di bawah gugusan Smart Selangor sesuai digunapakai untuk mendepani norma baharu dan bukan sahaja untuk masa hadapan.

"Melihat sambutan baik rakyat terhadap penggunaan infrastruktur digital, SSDU di bawah domain Smart Ekonomi giat memperkasakan ekosistem ekonomi digital untuk memudahkan IKS memulakan dan mengembangkan perniagaan dalam talian menerusi pembangunan platform SME Smart Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin menaruh keyakinan Selangor akan dapat bersaing dengan bandar-bandar pintar serantau pada tahun 2025.

Menurutnya, ia setelah melihat kepada perkembangan pelaksanaan Smart Selangor yang kini telah mencapai 40 peratus daripada 60 inisiatif yang digariskan dalam pelan tindakan agenda Smart Selangor 2025.

"Lebih meyakinkan lagi apabila inisiatif-inisiatif awal yang diperkenalkan kini telah diterima dan sedang digunakan oleh rakyat Selangor.

"Kemajuan yang dicapai menerusi inisiatif awal ini memberikan sedikit gambaran awal akan dampak penggunaan teknologi digital Smart Selangor yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjadikan Selangor lebih berdayahuni menjelang 2025 nanti,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai program Smart Selangor boleh diperoleh dalam Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 dicapaian https://www.smartselangor.com.my/publications/.