IPOH - Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, pelantikan kelima-lima ADUN itu mendapat perkenan daripada baginda dan majlis berlangsung pada jam 5 petang dalam suasana ringkas.
"Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad memohon perkenan Tuanku untuk melangsungkan istiadat mengangkat sumpah lima lagi Exco memandangkan esok akan berlangsung sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Memahami keadaan itu, Tuanku memperkenankan majlis angkat sumpah itu dilangsungkan petang ini. Dalam suasana pandemik Covid-19, Tuanku turut perkenankan majlis itu diadakan seringkas mungkin,” katanya.
Menurutnya, istiadat itu akan dilangsungkan dengan kehadiran Saarani; Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Suaidi Abdul Rahim.
Dengan pelantikan lima ADUN tersebut telah melengkapkan senarai barisan Exco Perak.
Khamis lalu, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin antara lima ADUN yang menerima lantikan sebagai Exco.
Pelantikan ADUN Sungai Manik itu merupakan lantikan baharu dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Menteri Besar Perak ke-14, Saarani.
Sultan Nazrin turut memberi perkenan untuk mengekalkan empat Exco dalam pentadbiran terdahulu.
Mereka adalah ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota) masing-masing mewakili UMNO.
ARTIKEL BERKAITAN: Zainol Fadzi antara lima ADUN terima lantikan Exco
Lima ADUN Perak diperkenan angkat sumpah Exco