Murid tersisih antara isu utama dibangkitkan Maszlee

Iklan
Isu murid sekolah tersisih dianggarkan hampir sejuta orang di seluruh negara terkesan susulan pasca pandemik Covid-19 antara perkara utama dibangkitkan Maszlee Malik di Dewan Rakyat hari ini. - Foto 123RF, gambar kecil: Maszlee

KUALA LUMPUR - Isu murid sekolah tersisih yang dianggarkan hampir sejuta orang di seluruh negara terkesan susulan pasca pandemik Covid-19 antara perkara utama dibangkitkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu dibangkitkan Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Iklan
Iklan

Susulan itu, Maszlee mencadangkan supaya KPM menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan pemegang taruh.

Menurutnya, cadangan berkenaan perlu dilaksanakan segera untuk membantu murid sekolah tersisih akibat pandemik itu yang dianggarkan hampir sejuta orang melibatkan kanak-kanak prasekolah, murid tahun satu dan dua di seluruh negara.

Iklan

"Anak-anak ini sedang bergelut dengan beberapa kemahiran asas seperti membaca, bertutur dan menulis. Ketiadaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara normal hampir setahun hakikatnya telah membantutkan proses pendidikan ini dan lebih malang lagi apabila tidak kelihatan usaha serius KPM untuk berhadapan dengan isu ini.

"Saya fikir satu resolusi boleh dihasilkan andai Yang Berhormat menteri bersedia membuka ruang kerjasama merentasi parti, ideologi dan juga kepakaran.

Iklan

"Ini kerana sehingga ini, walaupun sudah berkali-kali ahli Parlimen mahu pun rakyat di luar sana bersuara, (tetapi) masih tidak ada satu jawapan yang jelas dan tuntas berkaitan pelan utama KPM untuk menyelamatkan generasi tersisih ini," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, cadangan itu merupakan antara syor kepada KPM sebagai pelan utama untuk menangani masalah pendidikan pasca-Covid-19 yang amat serius ketika ini.

"Soalannya apakah KPM mempersiapkan pelan utama untuk anak-anak ini apabila memasuki Tahun Satu pada tahun 2021 nanti dan apakah langkah yang diambil.

"Justeru di dewan yang mulia ini, saya menggesa menteri KPM tampil secara proaktif dan berinteraksi dengan lebih terbuka kerana saya yakin di sana ada ramai lagi pihak yang mahu hulurkan tangan menyelesaikan kemelut ini secara kolektif bersama-sama," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Maszlee turut mempersoalkan projek bekalan 800 video yang berdurasi 25 minit yang diberikan kepada sebuah syarikat melalui tender terbuka.

Katanya, beliau difahamkan ketika ini hanya lima peratus daripada projek yang telah berjalan sejak Jun itu berjaya disiapkan.

"Dewan ini juga telah dimaklumkan setakat ini iaitu pada November, hanya 28 minit video sahaja yang telah disiapkan bererti kurang daripada lima peratus atau lima peratus.

"Sedangkan ia telah bermula sejak Jun dan kita telah melepasi lima bulan pembelajaran dalam talian," katanya.

Dalam pada itu, sebelum mengakhiri perbahasan, Maszlee turut mengajak ahli Parlimen menolak belanjawan itu.

Ini kerana katanya, negara pada ketika ini memerlukan belanjawan pendidikan baharu yang lebih terarah dan menjamin masa depan generasi akan datang.

"Saya menyeru untuk semua ahli Parlimen menolak belanjawan pendidikan ini sebagai satu signal yang jelas bahawa kita tidak kompromi isu pendidikan dan kita sama-sama mahukan yang terbaik untuk negara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Lebih 72 juta kanak-kanak 'miskin pembelajaran'

: