BENTONG - Polis Pahang menafikan dakwaan pihak pengurusan Genting melarikan 1,500 pekerja mereka dan ditempatkan di First World Resort berikutan situasi Covid-19 yang berlaku di pusat peranginan terbabit sebagaimana dakwaan tular di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kesemua pekerja telah menjalani ujian swab Covid-19 bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 10 Disember lalu dan didapati negatif.
Menurutnya, pihak Genting telah mengambil inisiatif menempatkan pekerja mereka di First World dengan kebenaran KKM.
"Polis juga berterima kasih kepada pengurusan Genting kerana melaksanakan CSR (tanggungjawab sosial korporat) dengan menempatkan dan menjaga pekerja mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada pesakit Covid-19 ditempatkan di Hotel First World
Kluster Genting tercetus selepas kes indeks rentas negeri
Sementara itu, pihaknya menyifatkan kerjasama baik antara penghuni di tiga lokaliti PKPD terbabit yang mematuhi peraturan kuarantin.
Beliau memberitahu, setakat ini seramai 1,041 penduduk di Apartment Amber Court Ria (1,184) dan Semaut (138) penduduk di kawasan itu menjalani kuarantin dan sedang menunggu keputusan ujian swab Covid-19.
Dalam pada itu katanya, polis tidak menghalang orang ramai berkunjung ke lokasi terbabit kerana PKPD hanya dilaksanakan di tiga lokaliti iaitu di Apartment Amber Court, Apartment Ria dan Rumah Kongsi Kampung Semaut.
Perkembangan terkini sejak 12 tengah hari semalam, Pahang mencatatkan keseluruhan 830 kes dengan jumlah tertinggi dari daerah Bentong sebanyak 413 kes namun mencatatkan kosong kes baharu selama dua hari berturut-turut bagi 13 dan 14 Disember
Sementara itu, mengulas insiden misteri ketukan pintu di negeri itu, Abd Jalil meminta kerjasama pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) mengadakan rondaan bersama bersama pihak polis.
"Pada peringkat awal ini, kita yakin ia berpunca perbuatan manusia yang bertujuan menakutkan penduduk setempat.
"Bagaimanapun, kita tidak mengambil mudah dengan kes ini jadi rondaan bersama pihak setempat perlu dilakukan khususnya dalam waktu-waktu tertentu yang dikenal pasti," katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Misteri ketukan pintu di Jerantut
Ketukan misteri di Jerantut: Masjid diminta buat solat hajat