PENGENDALI Barcelona, Ronald Koeman menilai kekuatan yang dimiliki pasukannya dan Paris Saint Germain seimbang selepas diundi bertemu dalam pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara.
Menurutnya, perlawanan tersebut dijangka sengit namun kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mara ke peringkat seterusnya.
"Kami sedar akan mendapat lawan kuat ketika sesi undian tetapi saya fikir keputusan ini seimbang. PSG memiliki kekuatan tersendiri begitu juga kami.
"PSG pernah menewaskan kami sebelum ini, tetapi perlawanan ini akan berlangsung sukar buat mereka kerana kami memiliki pasukan yang kuat.
"PSG merupakan kelab yang menghabiskan banyak wang demi meraih banyak gelaran termasuk Liga Juara-Juara. Musim lalu mereka mara ke final dan memang layak melangkah sehingga ke tahap itu," katanya.
Barcelona sememangnya dijangka akan mendapat lawan sukar selepas mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua di bawah Juventus.
Bagaimanapun, Koeman percaya, pasukannya mampu untuk keluar sebagai pemenang sekiranya tampil dengan persembahan cemerlang dalam perlawanan tersebut.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada aksi Liga Juara-Juara pada musim 2016/17 yang menyaksikan Barcelona mara dengan agregat 6-5.