Da'i Syed lunas ikat jamin RM35,000

Iklan
Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau dikenali ramai sebagai Da’i Syed hari ini dibebaskan selepas melunaskan bayaran ikat jamin berjumlah RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya. Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau dikenali ramai sebagai Da’i Syed hari ini dibebaskan selepas melunaskan bayaran ikat jamin berjumlah RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya.

Peguam bela selebriti itu, Syed Amirul Syed Edros berkata, bayaran ikat jamin anak guamnya dilunaskan oleh abangnya, Syed Shah Iqram dan pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar.

Iklan
Iklan

Menurut Syed Amirul, kegagalan anak guamnya membayar ikat jamin selepas didakwa di kedua-dua mahkamah berkenaan pada 10 Disember lepas menyebabkan dia ditahan di Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang.

"Urusan di Mahkamah Shah Alam selesai kira-kira pukul 11 pagi tadi dan kemudian dia (Syed Shah Iqmal) dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi urusan di situ pula," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Iklan

Pada 10 Disember lepas, Syed Shah Iqmal, 25, didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya, dan pada hari yang sama di Mahkamah Shah Alam pula dia menghadapi tuduhan merogol seorang wanita.

Di Mahkamah Petaling Jaya, dia dikenakan ikat jamin RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tarikh 19 Feb ditetapkan untuk sebutan semula kes, manakala di Mahkamah Shah Alam dia dikenakan ikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes pada tarikh 25 Jan.

Iklan

Sementara itu, Syed Shah Iqmal ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan di Mahkamah Petaling Jaya berkata, beliau reda dengan ketentuan berkenaan dan menyerahkan hal seterusnya kepada mahkamah.

Katanya buat masa ini, beliau akan berehat sementara waktu dan melepaskan rindu bersama keluarga selepas direman selama 18 hari.

"Saya juga perlukan sedikit ruang untuk mengubat jiwa, mental dan kesedihan saya," katanya.

- Bernama