MACHANG - Seorang lelaki terkejut apabila melihat bekas isterinya mati tergantung di rumahnya di Kampung Dusun Buruk Temangan di sini pada malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, bekas suami mangsa dikatakan pergi ke rumah tersebut untuk menghantar makanan, bagaimanapun terkejut apabila mendapati wanita itu tergantung di bahagian dapur rumah.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, mangsa yang berumur 34 tahun itu baharu sahaja bercerai dengan bekas suami kira-kira sebulan lalu.
"Saksi awal kejadian iaitu bekas suami mangsa memberitahu setibanya dia di rumah tersebut dia mendapati mangsa telah tergantung dan tidak bergerak.
"Dia telah menggunakan gunting untuk menurunkan mangsa dan ada kesan lilitan tali pada bahagian leher mangsa yang mana dipercayai telah menggantung diri dengan menggunakan tali tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal berseorangan di rumah berkenaan, namun bekas suaminya masih lagi datang ke rumah tersebut untuk menghantar makanan.
Menurutnya, lelaki itu bekerja sebagai tukang rumah di sekitar Temangan dan Machang dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata hasil perkahwinan tersebut.
"Hasil siasatan di lokasi kejadian juga mendapati kediaman tersebut hanya sebuah rumah usang yang tidak terurus.
"Tiada unsur jenayah berlaku dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.