TRUMP yang mempunyai masa beberapa minggu lagi untuk meninggalkan Rumah Putih telah bertindak meluluskan sekatan dengan menumpukan ke atas sebuah syarikat pembekalan senjata Turki.
AS juga melarang semua lesen eksport dan pinjaman kredit untuk agensi tersebut iaitu Industri Pertahanan Presidensi.
Ia juga tidak membenarkan Presiden agensi pembekalan senjata tersebut, Ismail Demir untuk pergi ke AS dan mempunyai aset-aset di negara berkenaan.
Sebelum ini, AS pernah memberitahu peringkat tertinggi pentadbiran Turki dan pada majlis-majlis tertentu bahawa pembelian sistem pertahanan berkenaan akan membahayakan keselamatan teknologi ketenteraan AS serta askar-askarnya.
Ia juga memberitahu Turki bahawa pembelian tersebut membolehkan sektor pertahanan Rusia memperoleh dana kewangan.
Pembelian itu membolehkan Rusia mendapatkan akses ke dalam Angkatan Tentera Turki dan industri pertahanan, kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo.
Trump sebelum ini menyuarakan simpati terhadap Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan memberi amaran bahawa sekatan tersebut akan dilihat kurang ajar.
Kementerian Luar Turki menganggap keputusan itu sebagai tidak adil dan mendesak AS supaya menimbangnya semula.
"Turki bersedia untuk menyuarakan isu itu melalui dialog dan diplomasi sesuai dengan semangat perikatan (NATO)," kata kementerian berkenaan seperti dilaporkan AFP.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menganggap sekatan tersebut merupakan satu lagi manifestasi satu sikap sombong AS.
Bagaimanapun, AS menyatakan ia tidak mempunyai pilihan lain.
Sebelum ini, Kongres AS meminta sekatan dikenakan ke atas Turki ekoran pembelian peralatan persenjataan ketenteraan Rusia di bawah undang-undang persekutuan negara tersebut iaitu Memerangi Musuh AS Melalui Akta Sekatan. - Agensi