SABAK BERNAM - Jabatan Perikanan Selangor mengesahkan seorang nelayan pantai mendaratkan seekor ikan dipercayai spesies 'Alligator Gar' di Perairan Sabak Bernam, berhampiran Sungai Lang pada Ahad lalu.
Pengarahnya, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, ikan ganjil yang telah mati itu tersangkut pada pukat hanyut milik nelayan terbabit.
Menurutnya, nelayan itu kemudian mengeluarkan ikan daripada jaring dan meletakkannya di atas jalan.
"Nelayan tersebut tidak dapat mengenal pasti spesies ikan tersebut.
"Siasatan mendapati ikan terbabit telah dijual kepada warga Bangladesh," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang nelayan pantai di sini terkejut apabila menemui spesies ikan berkepala buaya di Perairan Sabak Bernam berkenaan.
Sebuah laman Facebook memuat naik status memaklumkan seorang nelayan menemui ikan ganjil berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ikan berkepala buaya' muncul di Sabak Bernam