Negara kehilangan ilmuan ulung

Iklan
Ahli keluarga Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid mengaminkan bacaan doa setelah selesai majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara malam ini.
 Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Negara kehilangan ilmuwan ulung yang tidak terganti dengan pemergian tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz yang telah pulang ke rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al fatihah," katanya menerusi catatan Facebook.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin menerusi catatan Facebook berkata Allahyarham Ungku Abdul Aziz banyak menyumbang jasa pada negara terutamanya dalam bidang pendidikan.

"Sesungguhnya negara kehilangan seorang tokoh yang telah banyak berjasa khususnya dalam bidang pendidikan. Ucapan takziah saya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Pemergian yang tiada galang ganti. Al-Fatihah," katanya.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) berkenan berangkat menziarahi jenazah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail malam ini. Turut hadir bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (kanan). Foto Bernama

Iklan

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pula berkata, segala pengorbanan dan sumbangan Allahyarham dalam bidang ekonomi dan pendidikan tidak ada bandingannya.

"Semoga segala jasa dan budi Allahyarham dibalas setimpal oleh ALLAH SWT di hari akhirat kelak," katanya menerusi catatan Facebook.

Iklan

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pemergian cendekiawan ulung Allahyarham Ungku Abdul Aziz ke rahmatullah hari ini satu kehilangan besar kepada negara.

"Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang diredai. Al-Fatihah," katanya juga menerusi catatan Facebook.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Allahyarham banyak menyumbang kepada gagasan penting dalam pelbagai lapangan, antaranya pendidikan, ekonomi, pembasmian kemiskinan dan peranan besar yang dimainkan di sebalik penubuhan Tabung Haji serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

"Saya yakin sumbangan besar beliau kepada bangsa akan dikenang rakyat dan negara. Pengorbanan dan tunjuk ajar sewaktu berada di Universiti Malaya juga akan sentiasa tersemat utuh dalam jiwa saya," katanya menerusi catatan Facebook.

Turut mengucapkan takziah dan mendoakan semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman adalah Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun meninggal dunia kira-kira 4 petang tadi. - Bernama