SHAH ALAM - Gerakan politik terbaik bagi menghalang usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri adalah dengan memberikan sokongan kepada kepimpinan sedia ada yang ‘tiada apa dosa’.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya mengakui sebarang gerakan politik melantik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) didukung Bersatu ketika ini, sememangnya perlu dihalang semua pihak.
Bagaimanapun, beliau berpandangan sekiranya usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah kembali bergandingan bagi tujuan itu, adalah lebih baik mereka memberi sokongan kepada pemimpin ‘tiada apa salah’, dipercayai merujuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya tidak bersetuju dengan tindakan orang terlalu hendak menjadi Perdana Menteri sampai sanggup mengumpul SD (akuan bersumpah) dan sebagainya.
"Kalau usaha Tun M dan Ku Li atas faktor itu, masing-masing ada usaha.
"Tetapi cara paling baik untuk usahakan perkara itu adalah dengan memberikan sokongan kepada kepimpinan (kerajaan) sedia ada,” katanya dalam sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di kediamannya di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas sidang akhbar Dr Mahathir dan Ku Li pada Isnin yang membuat pengumuman terbuka bahawa mereka bersepakat untuk bekerjasama membantu menerajui kerajaan baharu.
Ia berikutan kedua-dua tokoh politik yang dianggap sebagai seteru sebelum ini mendakwa kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin bakal tumbang akibat kegagalan mendapat undi majoriti bagi meluluskan bacaan ketiga usul Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Bagaimanapun, dakwaan Dr Mahathir dan Ku Li terbukti meleset apabila kerajaan PN berjaya meluluskan bacaan ketiga usul berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tambun itu mengakui beliau sentiasa menghormati Dr Mahathir dan Ku Li sebagai dua pemimpin yang terlalu banyak berjasa kepada negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan mana-mana pemimpin tidak boleh menganggap hanya mereka yang mampu melakukan perkara terbaik untuk negara, sebaliknya perlu beri peluang kepada orang lain untuk memimpin.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang gagal tumbangkan kerajaan PN
Tun M-Ku Li bergabung gagalkan Anwar jadi PM?
Ku Li yakin mampu tarik ahli parlimen BN tolak Belanjawan 2021 esok