Agensi Islam perlu bergabung

Iklan
Pusat kutipan zakat bersama pusat kutipan tabung masjid-masjid di kawasan bandar utama atau ibu negeri perlu memainkan peranan secara bersepadu bagi membantu masyarakat di setiap peringkat.

HARI ini kita berdepan dugaan besar apabila pandemik Covid-19 melanda Malaysia. Pandemik itu juga memberi kesan besar kepada seluruh dunia dengan jumlah jangkitan terus bertambah dan kematian semakin meningkat.

Gelombang kedua yang mula melanda Malaysia pada Oktober lalu amat memberikan kesan, bukan hanya kepada golongan B40, malah mereka yang tergolong dalam M40.

Iklan
Iklan

Semakin hari semakin ramai yang hilang pekerjaan dan pendapatan. Hasilnya, tekanan kehidupan mula menyusup masuk dalam kehidupan masing-masing dan akibatnya kes gangguan serta penderaan dalam keluarga mula merebak. Kes-kes perceraian semakin bertambah setiap hari.

Dilaporkan pendaftaran kes-kes perceraian di Wilayah Persekutuan menjangkau 30 kes sehari. Kes bunuh diri juga mula berlaku dan semakin menjadi setiap hari. Kesemuanya berpunca daripada masalah kewangan dan kesempitan hidup.

Iklan

Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih 266 kes bunuh diri berlaku. Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), secara purata terdapat 30 orang membunuh diri setiap bulan atau seorang pada setiap hari.

Punca utamanya adalah bebanan hutang yang tinggi sejak Mac sehingga 30 Oktober 2020. Banyak syarikat besar dan sederhana mula membuang pekerja kerana tidak mampu lagi menanggung gaji dan kebajikan pekerja masing-masing.

Iklan

Isu pembuangan pekerja dan kesempitan sara hidup seolah-olah sudah tidak dapat dikawal lagi. Ia membuktikan bahawa tekanan perasaan, kemurungan dan penderaan dalam masyarakat mula meningkat serta memberikan kesan negatif dalam kehidupan masyarakat.

Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk berkongsi dan memberikan pandangan berdasarkan pengalaman sebagai bekas anggota Kabinet kerajaan Malaysia serta Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada suatu masa dahulu, sekiranya bermanfaat bagi mengurus tadbir masalah kesempitan kewangan dalam kalangan masyarakat.

Secara umumnya, kita semua mengetahui Covid-19 memberi kesan besar kepada golongan B40 hingga mendorong kerajaan mengatur pelbagai bantuan untuk membantu golongan berkenaan.

Namun, kita juga mengetahui pada masa yang sama golongan M40 yang banyak menghuni dan tinggal di kawasan bandar menerima kesan yang sama tetapi golongan itu tidak diberi bantuan sewajarnya, sedangkan M40 dan T20 adalah warga yang memainkan peranan penting dan besar dalam membayar zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam di negeri-negeri.

Apabila golongan itu tidak dibantu dengan sepatutnya, maka usaha menjana pendapatan seperti sediakala telah terbantut. Golongan yang menjadi penyumbang tetap kepada sumber zakat perniagaan dan pendapatan setiap negeri telah hilang punca pendapatan.

Kita mungkin terlepas pandang untuk melihat dan memperhalusi isu tersebut atas andaian bahawa ia masih mampu untuk terus kekal berkembang seperti biasa. Walhal, golongan itu juga sama terkesan akibat Covid-19 yang mengalami susutan pendapatan dengan teruknya.

Banyak syarikat terpaksa mengurangkan pekerja dan mengambil langkah jangka panjang dalam mengatur kewangan syarikat. Hasilnya, ramai golongan M40 hilang pekerjaan.

Berikutan itu, banyak pula kedai menjual makanan muncul seperti cendawan di bandar-bandar. Namun, ia tidak menyelesaikan masalah utama iaitu sumber kewangan yang stabil untuk semua peringkat apabila sistem sedia ada dalam perniagaan dan pengurusan harian masyarakat tidak dijaga dan berjalan seperti biasa.

Saya fikir, walaupun ia mungkin agak sukar, namun ia perlu diteliti dengan cara lebih terbuka agar sistem ekonomi yang sedia ada menjadi lancar dan harmoni.

Pusat kutipan zakat bersama pusat kutipan tabung masjid-masjid di kawasan bandar utama atau ibu negeri perlu memainkan peranan secara bersepadu bagi membantu masyarakat di setiap peringkat.

Bukan hanya B40 yang perlukan bantuan khas tetapi M40 yang menjadi tulang belakang ekonomi dan pengurusan negara perlu juga dibantu dengan skim-skim tertentu, berasaskan bahawa golongan M40 inilah yang mengeluarkan zakat secara berterusan kepada pusat zakat atas kesedaran dan keimanan pada setiap tahun tanpa gagal.

Namun, ketika negara mengalami musibah berpanjangan, golongan berkenaan bagai terpinggir dan bersendirian mengharungi kelangsungan hidup.

Pendapatan

Perlu disedari dan diakui bahawa golongan berkenaaan hanya akan terus mampu membayar zakat setiap tahun sekiranya mereka mampu mengurus dan menjana pendapatan yang menggalakkan dalam suasana perniagaan yang stabil serta maju.

Jika golongan itu tidak mampu menjana pendapatan, bagaimana pusat zakat boleh menerima atau mengutip zakat, sedangkan sebahagian besar M40 hilang punca pendapatan dan pekerjaan serta syarikat-syarikat milik golongan berkenaan terpaksa gulung tikar.

Justeru, saya berpandangan bahawa pusat zakat dan tabung masjid-masjid di bandar utama perlu memainkan peranan secara lebih aktif serta bersungguh-sungguh secara bersepadu bagi membantu golongan M40 menjana semula pendapatan, sekali gus memastikan zakat yang disumbangkan selama ini dapat diteruskan dan berkembang dalam keberkatan.

Pusat zakat sebenarnya bukanlah hanya berperanan sebagai tempat mengumpul wang semata-mata, sebaliknya pusat zakatlah yang selayaknya membantu semula masyarakat dalam keadaan ekonomi negara yang semakin meruncing.

Kaedah menjaga kemaslahatan masyarakat perlu dipertingkatkan oleh pusat zakat dalam menangani isu tersebut dan tidak semata-mata dilihat dari sudut jumlah besar kutipan yang diperoleh.

Oleh itu, satu langkah proaktif dan lebih progresif pihak pusat zakat amatlah diharapkan bagi menangani isu berkenaan secara bijaksana dan praktikal.

Langkah keprihatinan yang berlipat ganda oleh Majlis Agama Islam di setiap negeri juga akan menyedarkan semua golongan termasuk golongan bukan Islam bahawa agama Islam itu benar-benar syumul kerana ia akan memanfaatkan manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Kesyumulan Islam sebagai agama fitrah hendaklah dibawa kepada khalayak dalam nada yang mesra dan membina negara bangsa. Ia akan menjadikan Majlis Agama Islam sebagai badan yang lebih dihormati setiap warganegara Malaysia dan menghilangkan rasa prejudis agama lain terhadap agama Islam, seterusnya meningkatkan minat pihak-pihak yang terlibat untuk terus mengisi tabung zakat di Malaysia.

Pendekatan pengurusan Islam yang bersifat proaktif yang diungguli Majlis Agama Islam di setiap negeri akan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Kematangan dan sifat kemanusian yang diterapkan boleh menjadi contoh kepada badan-badan korporat dan swasta untuk turut sama menerajui usaha membantu B40 dan M40 melalui saat-saat sukar mengharungi kesan Covid-19.

Maka, saya mengharapkan agar Majlis Agama Islam di setiap negeri dapat meneliti dan menggerakkan usaha murni itu secara bergabung dalam membantu menjana semula ekonomi negara menerusi satu mekanisme penyelarasan Pusat di bawah restu dan perkenan Raja-raja Melayu.

Moga ALLAH SWT melindungi dan memelihara raja-raja yang berdaulat di negeri-negeri Tanah Melayu dan semoga ALLAH SWT juga merestui serta meredai usaha-usaha murni tersebut.

* Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri