SHAH ALAM - Perbezaan majoriti sebanyak tiga undi yang diperoleh kerajaan semasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat menunjukkan kerajaan seharusnya berhati-hati dalam memastikan ia mampu menepis persoalan legitimasi atau keabsahan politik.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian turut melihat kerajaan juga masih lagi mendapat sokongan di Parlimen walaupun dengan jumlah majoriti tipis.
"Sewajarnya kerajaan menggunakan peluang ini untuk meningkatkan sokongan dan juga mengubah persepsi yang banyak dimainkan pembangkang seolah-olah kerajaan tidak ada majoriti."Belanjawan ini walaupun bukan dilihat sebagai usul undi percaya tetapi ia juga memberikan gambaran ke atas kerajaan yang masih mendapat sokongan dan menafikan beberapa pandangan seolah-olah ia akan tumbang hari ini,” katanya di sini pada Selasa.
Mengulas mengenai kegagalan pembangkang dalam menjatuhkan kerajaan, Sivamurugan berpendapat, pembangkang hanya mahu menggunakan Parlimen bagi membuat pertimbangan ke atas legitimasi politik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, kegagalan pembangkang menumbangkan kerajaan semasa undian Belanjawan 2021 tidak akan terhenti.
"Mereka akan mencari strategi yang lain. Mungkin akan menggunakan strategi seperti sebelum ini mencari akuan bersumpah (SD) dan membuat pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong selepas gagal di Parlimen.
"Saya rasakan percaturan ini akan berterusan kerana majoriti kerajaan masih lagi tipis,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2021 lulus di Dewan Rakyat