SSPN jadi pilihan utama ibu bapa

Iklan
SSPN

SHAH ALAM - Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang ditawarkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi pilihan utama ibu bapa untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi kerana memberikan pelbagai manfaat kepada pendepositnya.

Pendeposit, Mohamad Hafidz Arif Ishak berkata, produk PTPTN seperti SSPN menggabungkan simpanan pendidikan, pelepasan cukai taksiran dan perlindungan takaful kepada pendeposit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau menyimpan dalam SSPN untuk anaknya pada setiap tahun dengan jumlah simpanan yang maksimum untuk mendapatkan pelepasan cukai.

"Saya akan membuat simpanan dengan jumlah yang dinyatakan sekali gus atau secara ansuran. Saya memilih menyimpan di SSPN kerana ia sebagai salah satu cara untuk membantu membiayai pendidikan anak-anak saya pada masa akan datang.

Iklan

"Sebagai ibu bapa, saya perlu membuat perancangan untuk masa depan anak yang perlu menyimpan simpanan daripada awal supaya mereka dapat menyambung pengajian tanpa masalah kewangan dan tidak terikat dengan bebanan hutang apabila tamat pengajian,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohamad Hafidz Arif Ishak

Beliau berkata, selain membuat simpanan, pendeposit juga berpeluang memenangi pelbagai tawaran dan hadiah menarik yang ditawarkan oleh PTPTN.

Iklan

"Buat masa ini, saya hanya membuka akaun simpanan SSPN seorang anak sahaja dan merancang untuk membuat perkara sama kepada setiap anak-anak yang bakal lahir pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Azliyanti Ib Berahim berkata, pengumuman kerajaan yang memberikan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun bagi simpanan bersih dalam SSPN dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022 merupakan langkah yang terbaik kepada pendeposit.

"Ia merupakan inisiatif yang baik kerana dalam Belanjawan 2021, insentif ini dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022. Pengumuman ini juga akan menarik orang ramai membuat simpanan di SSPN,” katanya.

Azliyanti Ib Berahim

Azliyanti berkata, SSPN turut menawarkan pelbagai kempen dan promosi seperti cabutan hadiah dan ini merupakan kelebihan SSPN dalam menggalakkan masyarakat menyimpan untuk pendidikan anak-anak mereka.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa yang masih mencari institusi kewangan yang sesuai untuk membuat simpanan supaya memilih SSPN.

"Selain menabung mereka juga berpeluang memenangi cabutan hadiah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik,” katanya.

PTPTN turut menyediakan pelbagai bentuk galakan penabungan bagi mendidik minda masyarakat supaya memulakan simpanan ketika anak masih kecil lagi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

Selain produk simpanan dikenali sebagai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), PTPTN turut menawarkan produk SSPN-i Plus yang dilancarkan sejak tahun 2015.