SHAH ALAM - ALLAH SWT menegaskan dalam Islam terdapat tiga perkara yang perlu dijaga iaitu akidah, syariat dan akhlak.
Penceramah bebas, Dr Nur Mohammad Hadi berkata, maksud menjaga akidah adalah pegangan seseorang manusia iaitu kepercayaan kepada ALLAH SWT yang disebut sebagai Rukun Iman.
Beliau berkata, seterusnya umat Islam juga diminta untuk konsisten dengan syariat di mana ALLAH SWT menurunkan melalui Rasulullah untuk memberitahu umat Islam apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan kerana itu adalah syariat yang dipegang menerusi Rukun Islam.
Selain itu katanya, ALLAH SWT juga memberikan penekanan tentang akhlak.
"Jika seseorang itu tidak menjaga mata mereka, akan tergadai akhlak dan akan memberi kesan kepada syariat sekaligus merosakkan akidahnya.
"Perkara inilah yang selalu kita rasa kecil dan ia akhirnya menyebabkan akidah kita tergadai," katanya pada Wacana al-Quran bertajuk Ketagih Pornografi: Apa Ubatnya? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Sekretariat Bimbingan Fitrah Insani, Mohd Fadli Othman, sementara Fazrul Ismail selaku moderator dan turut ditemani Qari Malaysia, Ustaz Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah al-Nur ayat 30-31.
Mengulas lanjut berhubung surah al-Nur ayat 30 dan 31, Nor Mohammad berkata, ALLAH SWT menceritakan tentang bagaimana peraturan hidup dan ALLAH SWT turut menjelaskan bagaimana hendak menutup ruang atau pintu yang boleh memudaratkan seseorang daripada terjerumus ke lembah maksiat.
"Sebab itu ALLAH SWT sebut kepada lelaki, mereka diberi akal begitu juga wanita untuk menjaga diri mereka agar tidak tergolong dalam golongan yang tidak akan mendapat keuntungan.
"ALLAH SWT juga menjelaskan kepada kita untuk berwaspada dengan menundukkan pandangan barulah dapat mengekang dari kemaluan melakukan zina dan perkara diharamkan," katanya.
Tambahnya, dalam kedua-dua ayat itu juga ALLAH SWT menegaskan jika manusia tidak menjaga mata ia akan merosakkan hati mereka dan apabila hati juga rosak, ia turut memberi kesan kepada akhlak manusia.
"Dalam ayat ini ALLAH SWT nak beritahu sebagai orang Islam tidak kira Mukminin atau Mukminat, beriman atau tidak, lelaki atau perempuan atau sesiapa saja sekalipun, kena jaga diri dan jangan terlibat dalam apa-apa bentuk atau perkara yang ALLAH SWT haramkan.
"Jika kamu ikut jejak langkah syaitan ia menyumbang kepada kemudaratan diri serta memberi kesan kepada hubungan dengan ALLAH SWT," katanya.