GEORGETOWN - Seorang pemuda maut apabila gagal mengawal motosikal ditunggangnya lalu melanggar belakang sebuah kereta di Lebuhraya Utara Selatan tengahari semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Assisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa Muhammad Amirulzamir Md Isa, 24 disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya pada petang hari kejadian.
Menurutnya, bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati, punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah di kepala akibat kemalangan jalan raya.
"Mangsa berasal dari Permatang Damar Laut, Bayan Lepas dan merupakan pekerja kilang.
"Siasatan mendapati, mangsa mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan bermotornya masih dalam tempoh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang dan bedah siasat dijalankan pada jam 7.20 malam.
"Mangsa menunggang motosikal dari arah Pulau Pinang menuju ke Sungai Petani.
"Kejadian berlaku pada jam 12.06 tengahari semalam di KM124.8 Lebuhraya Utara Selatan apabila motosikal mangsa terlanggar belakang sebuah kereta yang mengalami kerosakan enjin," katanya.
Tambahnya, pemandu kereta berkenaan memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan dan telah memaparkan papan isyarat kecemasan.
"Namun, mangsa yang gagal mengelak telah melanggar belakang kereta tersebut menyebabkan dia cedera parah dan motosikalnya rosak teruk di bahagian hadapan," katanya.
Pemandu kereta yang berusia 45 tahun tidak mengalami kecederaan.
"Pemandu kereta yang berasal dari Sungai Petani, Kedah didapati tidak mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan motornya telah tamat tempoh.
"Siasatan kes masih dijalankan," katanya.