Ahli UMNO boleh keliru dengan tindakan Ku Li

Iklan
SHAHRIL SUFIAN

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan membidas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengadakan sidang akhbar untuk menolak Belanjawan 2021 bersama Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia boleh menyebabkan ahli parti itu keliru dengan pendirian UMNO.

Shahril Sufian berkata, tindakan dibuat Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu juga tidak menghormati disiplin parti kerana mengadakan sidang akhbar bersama pemimpin besar parti lawan.

Iklan
Iklan

"Tak menghormati disiplin parti yang memutuskan untuk menyokong belanjawan," katanya menerusi hantaran Facebooknya pada Selasa.

Dalam sidang akhbar bersama Dr Mahathir sebelum ini, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li menyatakan beliau mampu menarik sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam undian Belanjawan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.

Iklan

Bagaimanapun, cubaan itu tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan PN menang dalam undi belah bahagian yang menyaksikan 111 ahli Parlimen menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.

Mengulas lanjut, Shahril Sufian berkata, beliau turut tidak faham dengan tindakan dibuat oleh Ku Li kerana kesan daripada itu bukannya kecil.

Iklan

"Sebagai orang muda dalam parti, sudah tentu saya hormat orang lama. Tetapi saya benar-benar tidak faham apa keperluan seorang Ahli Parlimen UMNO yang senior, berpengaruh dan bertaraf penasihat tanpa segan silu buat sidang akhbar bersama pembangkang," katanya.

Beliau turut memberikan contoh apa akan terjadi sekiranya orang lain membuat perkara sama dibuat oleh Ku Li.

"Apa reaksi? Atau bayangkan selepas ini ada Ahli Parlimen UMNO atau mana-mana pemimpin UMNO buat gerakan terbuka, panggil media, dengan parti lawan, tanpa izin presiden atau Majlis Kerja Tertinggi (MKT)?

"Adakah ia tauladan yang baik? Adakah ia menjernihkan keadaan dalam parti? Sudah tentu tidak," katanya.

Beliau turut menarik nafas lega apabila arahan dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar menyokong Belanjawan 2021 ditaati oleh hampir semua ahli Parlimen parti itu.

"Meskipun ada perkara yang UMNO mahu ditambah baik, akhirnya keputusan parti dibuat dan dilaksana. Ada yang setuju, ada yang kecewa.

"Rasional UMNO menyokong belanjawan tentunya ada kaitan dengan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan dibuat setelah meneliti baik buruk sebarang keputusan terhadap kebajikan rakyat amnya," katanya.