PPZ-MAIWP lancar kaunter zakat digital

Iklan
Ahmad Shukri (kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman ketika melancarkan perkhidmatan Kaunter Zakat Digital (KZD).

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan perkhidmatan berinovasi baharu, Kaunter Zakat Digital (KZD) dalam usaha meningkatkan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pasca penularan wabak Covid-19 menyebabkan segala urusan perlu dilaksanakan dengan penekanan kepada soal pendigitalan sebagai langkah adaptasi kepada normal baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KZD diwujudkan bagi memudahkan pembayar dan pegawai kaunter PPZ-MAIWP untuk berinteraksi secara dua hala dalam platform digital.

"Berbeza dengan pembayaran melalui portal yang hanya mempunyai komunikasi sehala, KZD bersifat lebih interaktif.

Iklan

"Pegawai kaunter PPZ-MAIWP akan berhubung terus dengan pembayar dan membantu menyelesaikan urusan berkaitan zakat, taksiran atau proses bayaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pembayar zakat boleh membuat pilihan untuk berurusan melalui 10 kaunter PPZ-MAIWP yang ditetapkan dan akan dihubungi semula dalam tempoh 24 jam.

Iklan

Katanya, melalui perkhidmatan itu, pembayar zakat akan diselia oleh pegawai zakat PPZ-MAIWP sehingga selesai proses bayaran zakat.

"Perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kaedah ini lebih efektif, pantas dan efisien serta boleh dilakukan di rumah pada bila-bila masa.

"PPZ-MAIWP sentiasa inovatif berhadapan dengan kehidupan norma baharu yang jauh lebih mencabar bagi memastikan urusan berzakat lebih mudah dilaksanakan. Semoga dengan adanya saluran bayaran yang pelbagai ini, ia tidak lagi menjadi alasan masyarakat Islam untuk tidak berzakat,” katanya.

Ahmad Shukri dalam pada itu turut menggesa umat Islam segera menunaikan zakat supaya dapat membantu golongan asnaf yang semakin bertambah.