Bekas pegawai imigresen didakwa 17 pertuduhan rasuah

Iklan
Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas pegawai imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas 17 pertuduhan menerima suapan bernilai lebih RM60,000 daripada ejen pekerja asing.

Tertuduh, Mohd Khairil Kamaruddin, 29, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim, Jamaludin Mat.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Imigresen Gred KP19 di Johor, didakwa telah memperoleh wang tunai untuk diri sendiri, kira-kira RM63,430 yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara Mac 2018 hingga Januari 2020.

Iklan

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 17 Januari depan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.