Masyarakat perlu berhati-hati, jangan mudah tertipu

Iklan
Azlina Roszy Mohamad Ghaffar

SHAH ALAM - Masyarakat perlu berhati-hati dan jangan mudah tertipu dengan orang tertentu untuk mengelak daripada menjadi mangsa jenayah.

Konsultan Psikologi Klinikal Klinik psikologi Azlina, Azlina Roszy Mohamad Ghaffar berkata, dalam psikologi terdapat empat perkara untuk melakukan jenayah iaitu pelaku, mangsa, niat dan peluang.

Iklan
Iklan

"Orang yang dihormati, popular dan sesiapa sahaja boleh terlibat dengan jenayah. Golongan wanita terutamanya perlu sentiasa menjaga diri dan pastikan berada dalam keadaan selamat dan tidak mudah percaya supaya tidak diambil kesempatan oleh mereka yang berpotensi melakukan jenayah seksual,” katanya.

Azlina Roszy berkata, sembilan daripada 10 jenayah seksual tidak dilaporkan oleh mangsa kerana takut dan trauma.

Iklan

"Mereka juga tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa kerana takut tidak ada orang yang mempercayainya. Lebih 70 peratus perogol dikenali oleh mangsa seperti teman lelaki, bapa tiri, bapa sendiri, abang saudara dan sebagainya.

"Mangsa sukar untuk membuat aduan dan kebanyakan emak terpaksa sembunyikan hal yang berlaku,” katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, Azlina Roszy berkata, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat mengenai kehidupan anak-anak dan tidak memberikan pendidikan mengenai akil baligh menjadi antara salah satu punca mereka terjebak dengan gejala sosial.

"Kajian psikologi mendapati ibu bapa yang tidak mempedulikan kehidupan anak-anak akan menyebabkan anak-anak mereka hidup bebas tanpa batasan.

"Ibu bapa perlu mengambil berat mengenai hal anak-anak mereka seperti apa yang berlaku di sekolah mereka dan menetapkan peraturan di rumah kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, hubungan ibu bapa dan anak-anak memainkan peranan penting dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang baik.

"Ibu bapa tidak perlu menyalahkan pornografi sebagai punca berlakunya jenayah rogol. Tiga motif berlakunya jenayah rogol dalam kalangan lelaki iaitu ingin menguasai wanita disebabkan wanita berkenaan menolak cintanya dan tidak boleh mengawal nafsunya sendiri.

"Selain itu, ia bertujuan untuk membalas dendam. Lelaki yang impulsif adalah mereka yang mahukan sesuatu dalam masa yang sama dan mereka sukar untuk mengawal nafsu,” katanya.