SHAH ALAM - Masyarakat tidak boleh menilai secara zahiriah (luaran) dan lahiriah untuk melabelkan seseorang itu sebagai seorang pendakwah kerana Islam tidak meletakkan kedua-duanya sebagai asas penilaian.
Pendakwah Bebas, Harryanto Rizal Rokman berkata, pendakwah tidak terikat dengan kod pakaian dan mereka mempunyai pelbagai ragam, tetapi tidak nafikan itu sebahagian perkara yang baik, cuma kalau meletakkan ia sebagai penilaian itu tidak tepat.
"Kalau pendakwah muda dan sebagainya, konsep dakwah tidak ada keterbatasan dan sesuai dengan zaman. Zaman dahulu, ustaz tidak nampak dan pada hari ini ustaz menonjol tetapi bagaimana asas kepada dakwah itu kepada diri sendiri untuk meletakkan akhlak dan contoh Nabi Muhammad SAW di hadapan.
"Bukan soal dari mana dia lahir sama ada daripada program realiti agama atau sebagainya, soal diri sendiri sebagai individu, kalau dia tidak meletakkan dirinya di pentas dakwah, dia bukan pendakwah. Jika lebih nampak zahir seperti artis, sebut artis bukan pendakwah,” katanya.
Harryanto Rizal berkata, berlakunya jenayah tidak ada kaitan dengan soal imej kerana ia tidak memberikan apa-apa makna, dalam Islam soal takwa tidak dilihat zahir seperti pada pakaian dan watak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila membicarakan soal pelaku jenayah pada zahirnya seolah dikaitkan agama, mungkin sebahagian masyarakat memanggil sebagai ustaz, hakikatnya bukan ustaz dalam kalangan perawat perubatan alternatif.
"Dia perawat kaedah rawatan bukan kelompok arus perdana tetapi hanya di sisi sahaja, orang di persekitaran perawat dalam istilah kita halal dan maknanya menepati keadaan Islam.
"Jarang kira mendengar institusi merawat yang masyhur di uar-uarkan jenayah seksual. Saya pernah di Darusalam, kaedah mengubat tidak boleh sentuh secara langsung, seseorang yang dirawat mesti ada waris dan ahli keluarga bersama, konsep itu menepati syarak,” katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku hari ini, ustaz hakikatnya bukan ustaz kerana kaedah rawatan tidak menepati etika, tidak tepati syarak, apabila datang bersendirian, berkhalwat berdua, kaedah rawatan bersentuhan pada tempat yang tidak sepatutnya.
"Ini membuatkan orang akan keliru dan ini soal imej. Saya tidak bersetuju (gambar yang tertera) dan saya turut mengikuti di media sosial, dia bukan konteks pendakwah tetapi figura selebriti yang lahir dalam program dakwah, saya juga terlibat secara langsung.
"Ini menjadi masalah apabila masyarakat meletakkan sesuatu gambaran hakikatnya tidak tetapi label yang diletakkan menyebabkan ia terpalit semua,” katanya.
Bagaimanapun, Harryanto Rizal berkata, ada juga yang bersalah dan ditunjukkan dia bertaubat apabila datang ke mahkamah dengan memakai kopiah.
"Watak-watak dan gambaran agama dimasukkan dalam karektor ketika perbicaraan walhal hakikatnya dia adalah sebaliknya. Kita kena mengajar masyarakat jangan menilai pada zahir dan lahiriah,” katanya.
Katanya, masyarakat perlu faham agama tidak menumpukan zina hanya kepada wanita tetapi melibatkan kedua-duanya wanita dan lelaki.
"Dalam Islam, jangan hampiri zina dan kita perlu menutup semua perkara yang boleh menyumbang kepada persekitaran zina,” katanya.