Pemancing ditemui mati akibat lemas

Iklan
Anggota bomba mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemukan di perairan Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG - Mayat seorang lelaki yang hilang selepas terjun ke laut untuk menarik bot yang hanyut dibawa arus ditemui di Kampung Tanjung Langsat, di sini hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, mayat Fazriden Azuardi Ismadi, 35, ditemukan orang awam pada jam 1 petang.

Iklan
Iklan

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang lemas. Mangsa dikenali sebagai Fazriden, menetap di Taman Cendana," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 2.37 petang Selasa, mangsa dikatakan terjun ke dalam laut ketika cuba mendapatkan bot miliknya yang hanyut ketika dia memancing bersama rakannya berhampiran Markas Pasukan Gerakan Am (PGA), di Kampung Tanjung Langsat.

Iklan
Iklan

Mangsa menyedari bot tersebut hanyut dibawa arus selepas ikatannya terlucut dari tiang rumah rakit namun selepas terjun ke laut, lelaki tersebut tidak timbul.