ALOR SETAR - Stadium Mini Ffira Mikah di Padang Terap yang mencetuskan kontroversi sejak beberapa hari lalu tidak melalui prosedur pemilihan nama yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, perbincangan mengenai nama baharu stadium berkenaan hanya dilakukan di peringkat kerajaan tempatan tanpa dirujuk ke mesyuarat exco untuk diluluskan.
Katanya, telah menjadi prosedur bahawa setiap nama jalan, lokasi, taman atau stadium hendaklah dibincangkan di peringkat kerajaan tempatan dan seterusnya dibawa ke mesyuarat exco yang berlangsung setiap minggu untuk diluluskan.
"Namun dalam hal ini, perkara itu tidak berlaku kerana pemberian nama stadium tersebut hanya dibincangkan di peringkat kerajaan tempatan saja. Oleh sebab itu nama berkenaan telah dibatalkan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan tempatan masih belum mempunyai nama baharu yang akan digunakan untuk menggantikan nama stadium terbabit.
Katanya, nama baharu stadium terbabit akan dibincangkan di peringkat kerajaan tempatan terlebih dahulu sebelum dirujuk ke mesyuarat exco untuk mendapatkan kelulusan.
"Saya sendiri secara peribadi tidak bersetuju dengan penggunaan nama tersebut pada stadium berkenaan.
"Tetapi dari sudut lain, dengan tularnya nama stadium ini daerah Padang Terap sudah mula dikenali ramai sehingga ke negara luar," katanya.
Ketika ditanya mengenai tindakan yang akan dikenakan terhadap Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu akan diserahkan sepenuhnya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.
"Saya serahkan kepada Ammar untuk ambil sebarang tindakan sewajarnya, sesuai dengan urusan pentadbiran," katanya
Sebelum ini, nama stadium mini Ffira Mikah menjadi bualan orang ramai selepas ia dikatakan menyamai nama Hakim Ariff yang dieja secara terbalik.
Bagaimanapun, Hakim Ariff tampil menyangkal dakwaan berkenaan dan mendakwa nama terbabit mempunyai maksud tersirat iaitu dalam bahasa Sepanyol atau Greek, ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat, manakala ‘Mikah’ dalam bahasa Arab sempena nama malaikat.
ARTIKEL BERKAITAN [EKSKLUSIF] 'Stadium Mini Ffira Mikah tiada kaitan nama saya'