IPOH - Kerajaan Perak mengumumkan pemberian bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak sebulan gaji kepada semua penjawat awam negeri yang akan dibayar pada hujung bulan ini.
Menteri Besarnya, Datuk Saarani Mohamad berkata, BKK itu merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan dan komitmen penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran yang melaksanakan tugas dengan amanah tanpa mengira waktu.
"Selain itu, pembayaran RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru I’dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, tok batin dan Pekerja Sambilan Harian (PSH)," katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Belanjawan defisit bertemakan 'Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif' itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.215 bilion.
Selain itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan meneruskan Program Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa bagi 2021 dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.
Katanya, program yang diperkenalkan sejak 2018 itu telah membantu 5,631 mahasiswa yang menghadapi kesulitan kewangan sepanjang tempoh pengajian dengan kadar bantuan sekali bayar RM700 seorang untuk sara diri, manakala RM300 hingga RM1,000 untuk bantuan kecemasan bergantung kepada jenis kesulitan dihadapi.
Menurut Saarani, kerajaan negeri juga akan meneruskan bantuan Kad Perak Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM25.2 juta yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 orang penerima selain meneruskan program Kotak Makanan yang melibatkan peruntukan RM4 juta.
Sebagai kerajaan negeri yang prihatin terhadap penggiat industri pelancongan terkesan akibat pandemik Covid-19, Saarani turut mengumumkan bayaran sekali bayar RM700 kepada 300 pemandu pelancong berdaftar di negeri Perak serta RM2,000 kepada 200 syarikat agensi pelancongan dan pengembaraan berdaftar.
Selain itu, Belanjawan Perak 2021 turut menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM11.8 juta.
"Kerajaan juga bersetuju supaya semua ADUN dijemput dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah, Jawatankuasa Kumpulan Bertindak Khas dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
"Semoga dengan ketetapan ini, semua ADUN dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan kepada pengundi di kawasan masing-masing," katanya. - Bernama