KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tiada rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Menurutnya, semua khabar angin mengenai rombakan Kabinet adalah berita palsu.
"Saya kekal dengan Kabinet sekarang," katanya kepada media selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari, menteri-menteri Kabinet dan wakil-wakil kedutaan.
Pengesahan Perdana Menteri itu sekaligus menepis khabar angin dalam sebuah blog kononnya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Wan Azizah selepas Tahun Baru Cina.
Menerusi catatan blog itu juga, desas desus pelantikan Azmin itu dikuatkan lagi apabila Dr Mahathir memberikan pelbagai tugasan penting kepada Azmin termasuk sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan serta kemungkinan mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Terdahulu, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba di Wisma Chinese Chamber kira-kira jam 10.30 pagi.
Pasangan itu memakai baju berwarna merah dan turut menggaul yee sang bersama tetamu-tetamu lain.