TLDM bakal terima kapal LMS keempat

Iklan
Foto dari Twitter TLDM

SHAH ALAM - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima kapal misi pesisir (LMS) keempat dan majlis penyerahannya diadakan serentak dengan upacara rasmi penamaan kapal tersebut pada November tahun depan.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, kapal keempat itu selesai menjalani fasa pembinaan dan selamat diturunkan ke air di Limbungan Wuchang Shipbuilding Industry Group Ltd (WSIG) di China, hari ini.

Iklan
Iklan

Kapal berkenaan akan menjalani beberapa siri ujian penerimaan di pelabuhan dan seterusnya di laut sebelum diserahkan kepada TLDM.

"Bagaimanapun, susulan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda di seluruh dunia menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di kedua-dua buah negara (Malaysia-China), upacara rasmi penamaan LMS berkenaan ditangguhkan dan akan dilaksanakan serentak dengan upacara penyerahan fizikal kapal yang akan dijadualkan pada November depan (2021),” kata kenyataan tersebut.

Iklan

Dalam kenyataan sama dimaklumkan, LMS keempat itu bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama LMS pertama (KD Keris), LMS kedua (Sundang) dan LMS ketiga.

Perolehan kapal LMS dilaksanakan di bawah kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyad Sdn Bhd (BNSSB) yang dimeterai pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding and Offshore International Corporation Ltd di China.

Iklan

"LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5. LMS berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, mencari dan menyelamat (SAR) di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia.

"Bakal warga kapal LMS keempat ini juga dijangka diatur gerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada awal April depan,” katanya.