PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kebenaran kelonggaran terhadap individu dalam pengawasan (PUS) untuk menjalankan urusan mereka sejak awal pandemik Covid-19 lagi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelonggaran itu berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Ia bukanlah perkara baharu dan kita telah laksanakan sejak hari pertama lagi bagi membenarkan kelonggaran terhadap PUS yang memohon untuk menjalankan tugas atau urusan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, akta tersebut memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk menilai sebarang permohonan membabitkan kes tertentu untuk melaksanakan urusan ketika mereka sedang berada dalam tempoh pengawasan.
"Contohnya, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, kita benarkan kes PUS hadir ke pusat mengundi dengan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE)," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang mempersoalkan keputusan membenarkan wakil rakyat yang menjalani perintah pengawasan di rumah (HOS) menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk mengundi Belanjawan 2021 bacaan kali ketiga dengan memakai PPE.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba, Datuk Seri M Saravanan (Tapah) dan P Prabakaran (Batu) yang menjalani tempoh perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) hadir ke sidang Dewan Rakyat dengan mengenakan PPE dan mencetuskan bantahan wakil rakyat pembangkang.
Bagaimanapun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan telah menulis surat permohonan kepada Dr Noor Hisham dan mendapat kelulusan untuk hadir ke Dewan Rakyat.