Peniaga rugi selepas dipukau tiga individu

Iklan
Ida menunjukkan kepingan kertas bertulis nombor yang diberi geng pukau terbabit.

PUCHONG - Seorang peniaga kerugian sejumlah wang selepas dipercayai dipukau tiga individu di kedai diusahakannya di Puchong Permai, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ida berkata, dia didatangi seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang mendakwa mahu mengutip derma.

Iklan
Iklan

Menurut Ida, wanita itu mendakwa dia mengumpul sumbangan untuk membeli barang masakan yang akan digunakan di sebuah pertubuhan kebajikan warga emas di Puchong.

Tanpa mengesyaki sesuatu yang buruk, Ida berkata, dia mengeluarkan sejumlah wang dan memberikan kepada wanita itu dengan niat mahu menderma.

Iklan

Katanya, selepas wanita itu keluar dari kedainya, dua individu lain pula dipercayai dari geng sama memasuki kedai dan menuju ke arahnya yang duduk di kaunter wang.

"Dua orang lagi ni seorang lelaki berpakaian kemas berusia lingkungan 50-an dan seorang perempuan berusia lingkungan 40-an.

Iklan

"Yang wanita pura-pura macam bisu bawa dulang ditutup dengan sehelai tuala, si lelaki pula kata hati saya banyak baik nak kasi doa dan nombor, sambil yang perempuan pegang tangan dan tenung mata saya," katanya yang pada mulanya hairan dengan perlakuan kedua-dua individu terbabit.

Ida berkata, lelaki terbabit memberitahu nombor diberinya nanti perlu 'ditikam' (beli di kedai nombor ekor) untuk mendapat pulangan berganda.

Ida hanya mengikut arahan kedua-dua individu tersebut tanpa sebarang bantahan hinggalah mula tersedar apabila kedua-duanya asyik meminta wang.

Katanya, individu terbabit menyuruhnya memberikan jumlah wang diminta yang didakwa untuk disembahyangkan dan memintanya menadah tangan.

"Saya ikut saja cakap mereka... masa tadah tangan dia ambil sekeping kertas dari atas meja dan tulis beberapa nombor.

"Yang terakhir dia minta duit sebanyak RM150 lagi tapi saya macam tersedar dan tak bagi," katanya.

Ida kemudiannya meminta kembali duit yang diberi sebelum itu namun mereka kata ia perlu 'disembahyangkan' dalam dulang dibawa.

"Saya hanya sedar sepenuhnya bila ada pelanggan yang saksikan insiden itu beritahu saya telah ditipu ketiga-tiga individu terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Ida meminta peniaga sekitar kawasan ini berhati-hati apabila didatangi pihak seperti itu bagi mengelakkan menjadi mangsa.

Menurutnya, sebaik tersedar ketiga-tiga individu terbabit didapati sudah menghilangkan diri dari sekitar kawasan kedainya.