AirAsia kembali taja Liga-M: Hamidin

Iklan
Hamidin menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Rakan Kongsi MFL di Putrajaya hari ini. - FOTO: FB MFL

PRESIDEN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia akan kembali menjadi antara penaja saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.

Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, perkara itu disuarakan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Beliau mengakui MFL kini dalam usaha mendapatkan lebih banyak penajaan bagi musim 2021 selain memberi bayangan CIMB Group Holdings Berhad berkemungkinan kembali menjalinkan kerjasama bersama badan pentadbir Liga-M itu.

"Kami ada berjumpa serta berbincang, beliau (Tony Fernandes) sahkan AirAsia akan memperbaharui penajaan mereka... mungkin terdapat satu atau dua tambahan subsidi daripada mereka. Tan Sri Tony memang setuju mengenai perkara ini dan maklumat lanjut kita akan maklumkan.

Iklan

"Apabila beliau nyatakan persetujuan itu, ia satu perkhabaran yang baik. Jadi kita tunggu CIMB dan jika dapat bank lain pun apa salahnya dan sampai masa kita akan maklumkan kepada umum," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-4 MFL di sini hari ini.

AirAsia menjadi syarikat penerbangan rasmi eksklusif Liga-M 2019 hingga 2020 sementara CIMB menjadi penaja utama Liga Super 2020 sebelum ini telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan penajaan bagi saingan Liga-M.

Iklan

Pada masa sama, Hamidin berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan penajaan dalam keadaan ekonomi tidak menentu susulan impak Covid-19.

"Covid-19 memberi kesan kepada semua, kita (MFL) juga perlu prihatin kepada mereka dengan tidak membuat permintaan terlalu tinggi, sebaliknya terima seberapa jumlah yang mampu diberikan,” katanya.

Sementara itu, Hamidin mengesahkan perwakilan Kongres MFL turut menyokong usul permohonan badan pentadbir itu kepada kerajaan untuk membawa masuk penonton berskala kecil ke stadium bermula musim depan.

Beliau percaya kemasukan penonton ke stadium bukan sahaja sebagai proses menyesuaikan diri dengan norma baharu pandemik Covid-19, malah ia bakal meningkatkan ekonomi industri bola sepak tempatan khususnya melibatkan penaja.

"Hari ini, perwakilan menyokong usul permohonan untuk membawa masuk penonton berskala kecil dan sudah pasti kami berharap permohonan ini dibenarkan selaras dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Saya percaya banyak perkara positif akan berlaku jika penonton dibenarkan kembali ke stadium kerana saya difahamkan penaja bersedia untuk memberikan penajaan jika pihak kerajaan membenarkan penyokong ke venue pada tahun depan,” katanya. - Bernama