Indonesia nafi laporan media Israel

Iklan
Indonesia menolak laporan The Jerusalem Post pada Ahad yang mendakwa negara itu mahu menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. - Foto Agensi

JAKARTA - Indonesia menafikan laporan media Israel yang mendakwa negara terbabit mahu menjalinkan hubungan diplomatik dengan rejim Tel Aviv dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Jurucakap Kementerian Luar, Teuku Faizsyah menegaskan, tidak ada kemungkinan seperti itu malah mereka juga tidak pernah menghubungi Israel.

Iklan
Iklan

"Kami secara konsisten menjalankan tugas mengikut mandat Perlembagaan dan mengamalkan dasar luar yang secara terang-terangan menyokong isu Palestin,” katanya semalam.

Kenyataan tegas itu dikeluarkan selepas akhbar harian berbahasa Inggeris, The Jerusalem Post memetik kenyataan sumber diplomatik tidak dinamakan mendakwa Oman dan Indonesia akan mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi menormalkan hubungan dengan Israel.

Iklan

Sumber diplomatik itu juga mendakwa kedua-dua negara sudah mengadakan rundingan dan kesepakatan itu kononnya akan diumumkan sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari depan.

Difahamkan, Indonesia merupakan penyokong kuat tuntutan Palestin sejak sekian lama dan enggan berkomunikasi dengan Israel.

Iklan

Pada 3 September lalu, menerusi ucapan pada Perhimpunan Agung PBB, Presiden Joko Widodo atau Jokowi turut mengulangi sokongan Indonesia terhadap Palestin.

Sebelum ini, beberapa gerakan Islam dan pertubuhan pro-Palestin pernah mengecam perjanjian damai yang dicapai beberapa negara Arab bersama Israel.

Pada Oktober lalu, Jawatankuasa Indonesia untuk Solidariti Palestin (KISPA) menyifatkan Israel sebagai entiti penjajah dan tidak boleh dipercayai untuk membawa keamanan di rantau terbabit.

"Sebarang bentuk sokongan atau langkah menormalkan hubungan dengan Israel bermakna menyokong pendudukan mereka di wilayah Palestin dan satu pengkhianatan kepada tuntutan Palestin,” tegas Pengerusi KISPA, Muhendri Muchtar.

Pertubuhan Islam, Hidayatullah juga senada dengan KISPA yang menyelar langkah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv yang didakwa bertujuan membenarkan pelanggaran ke atas hak Palestin secara berterusan. - Agensi