GEORGETOWN - Anak sulung bekas ketua jurulatih skuad Pulau Pinang yang menjuarai Liga Perdana 1 pada 1998, Moey Yoke Ham menyifatkan mendiang ayahnya seorang yang periang selain tidak menunjukkan tanda-tanda sakit sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Moey Mi Lin, 45, berkata, ayahnya meninggal dunia disebabkan pendarahan dalam otak selepas terjatuh di kediamannya di Batu Lanchang, semalam.
Iklan
Iklan
"Ibu menghubungi saya memberitahu ayah tidak sedarkan diri selepas jatuh di rumah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut, namun pihak hospital tidak dapat berbuat apa-apa ekoran kecederaan pada bahagian otak ayah terlalu serius,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wanita itu menyifatkan mendiang ayahnya sebagai seorang yang penyayang dan sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak.
"Disebabkan saya tinggal di Petaling Jaya, saya akan menghubungi ayah setiap hari,” katanya yang memaklumkan mayat mendiang ayahnya akan dibakar di Kremotarium Batu Gantung pada Ahad ini.
Yoke Ham, 76, meninggalkan balu, Lee Siew Koon, 70 dan dua anak, iaitu Mi Lin dan anak lelaki Khai Boon, 43.
Sementara itu, Kelab Bola Sepak Pulau Pinang menerusi laman Facebook rasminya menyatakan mendiang akan sentiasa diingati sebagai tokoh yang membawa kegemilangan skuad 1998 bersama-sama Merzagua Abderrazak menjuarai Liga Perdana 1. - Bernama