Lapan das tembakan dilepaskan, kereta langgar polis

Iklan
Seorang anggota polis cedera dilanggar kereta dipandu lelaki cuba larikan diri, dipercayai kerana memiliki dadah.

NIBONG TEBAL - Polis melepaskan lapan das tembakan ke arah sebuah kereta Proton Perdana selepas pemandunya melanggar seorang anggota polis ketika mahu melarikan diri, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas dua lelaki di Taman Gamelan Indah, Sungai Bakap di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika membuat pemeriksaan ke atas dua lelaki berusia 43 dan 36 tahun itu, salah seorang suspek meluru masuk ke dalam kereta untuk melarikan diri.

Tambahnya, suspek mengundurkan keretanya dengan laju dan melanggar salah seorang daripada anggota polis dan motosikalnya.

Iklan

"Bimbang suspek bertindak lebih agresif dan untuk mempertahankan diri, seorang lagi anggota polis telah melepaskan lapan das tembakan ke arah kereta suspek. Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri.

"Anggota bertugas telah meminta bantuan kereta peronda dan polis mengejar suspek. Suspek yang gagal mengawal keretanya telah melanggar sebuah kereta Proton Wira. Suspek berusia 43 tahun tersebut akhirnya berjaya ditahan selepas kereta dipandunya terbabas di Jalan Sungai Kechil di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Chong Chern berkata, pemeriksaan lanjut polis menemui satu peket kecil dadah disyaki methamphetamine yang dibuang suspek.

"Kita percaya, motif suspek melarikan diri adalah bagi mengelak ditahan kerana memiliki dadah.

"Polis turut menemui lapan kelongsong peluru di tempat kejadian. Kita menahan kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut yang mana suspek yang melarikan diri mempunyai 13 rekod jenayah manakala rakannya tiada rekod," katanya.

Beliau berkata, anggota polis yang cedera pada siku dan jari tangan serta sakit belakang badan dibawa ke klinik untuk rawatan lanjut.

"Motosikal mangsa cuma rosak di bahagian hadapan dan lampu belakang. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.