GEORGETOWN - Sebuah bot dari Indonesia ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan dalam satu operasi yang dijalankan sepasukan Pasukan Polis Marin Wilayah 1, dua hari lalu.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Superintendan Dimin Awang berkata, selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, pihaknya mendapati bot berkenaan membawa banyak daun nipah kering dipercayai diseludup secara haram.
Menurutnya, bot itu ditahan ketika berlabuh di kawasan perairan berhampiran Pengkalan Weld di sini, pada Isnin lalu, jam 5 petang.
"Bot berkenaan difahamkan dari Pangkalan Dodek, Indonesia dan daun nipah kering itu dipercayai akan digunakan bagi menghasilkan rokok untuk dijual kepada pembeli di sekitar negeri ini.
"Kesemuanya dianggarkan bernilai RM60,000," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menahan lapan kru kapal warga Indonesia berusia 30 hingga 55 tahun.
"Mereka ditahan kerana nakhoda kapal tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen permit import bagi produk pertanian itu," katanya kepada media hari ini.
Tambahnya, kapal tersebut disita bersama 63 kotak dan 474 beg plastik berisi daun nipah dengan anggaran berat 8.5 tan.
"Kesemua daun nipah itu dibawa dari negara jiran sebelum dijual kepada pembeli untuk dijadikan rokok."Tangkapan ini adalah tangkapan pertama yang dibuat pihak polis marin negeri dalam tempoh tiga tahun," ujarnya.
Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan adalah dianggarkan RM350,000.
"Selain itu, kita masih menyiasat pembeli yang dikatakan akan membeli daun nipah berkenaan.
"Kesemua barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.