SHAH ALAM - Pemerhati politik berpandangan gabungan BN-Pas memiliki kelebihan memenangi PRK Dun Semenyih, bulan depan.
Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, ini berdasarkan situasi semasa yang lebih memihak kepada gabungan itu, selain isu panas membabitkan orang Melayu yang gagal ditangani kerajaan PH, disamping janji manis manifesto PRU14 lalu yang masih gagal dilaksanakan.
Katanya, Dun Semenyih adalah kawasan pinggiran bandar yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang tinggi.
"Beberapa kajian mendapati PH semakin kurang popular di kalangan Melayu disebabkan beberapa isu bermotifkan etnik termasuk ICERD dan kegagalan perlaksanaan manifesto.
"Sejak diterajui Datuk Seri Mohamad Hasan BN pula semakin kukuh. Kerjasama erat diperkasakan dengan Pas seperti di Cameron Highlands. Populariti Datuk Seri Najib Tun Razak di kalangan sesetengah Melayu juga diguna pakai tanpa segan silu meskipun terpalit dengan beberapa isu. Tag line Najib,"Malu apa, bosku!”, bukan sahaja popular di Cameron, tetapi juga seantero Malaysia kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, BN juga berusaha keras dalam PRK walau pun tewas di empat PRK sebelum itu dan hasilnya parti itu berjaya mendapat majoriti lebih tinggi berbanding dengan PRU-14 di kawasan itu.
"Di Semenyih pula, PH mempunyai beberapa defisit khasnya dalam perlaksanaan manifesto PRU14. Pemansuhan bayaran tol adalah hal penting bagi orang kebanyakan, khasnya pengundi bandar.
"Ramai pengundi di Semenyih bekerja di Lembah Klang dan ramai menggunakan lebuh raya antara-bandar yang mempunyai tol. Hal ini pula tidak dapat dilakukan oleh PH buat masa ini atas kekangan kewangan. Ia boleh menyebabkan PH mengalami defisit keyakinan di kalangan pengundi Semenyih," katanya.
Katanya, baik di peringkat lokal dan nasional, parti Bersatu masih lagi menghadapi cabaran besar untuk menggantikan Umno dalam mewakili dan mempengaruhi suara Melayu.
Beliau menambah, berbeza dengan PH, BN mempunyai 'support base' yang kuat di Semenyih ditambah sokongan dan jentera dari Pas, kekuatan dan pengaruh BN di Semenyih dijangka akan melebar.
"Sebagai pembangkang pula, BN dan Pas berada di kedudukan ofensif terhadap kerajaan persekutuan dan negeri, berupaya menunggang di sebalik sentimen semasa orang ramai khasnya Melayu terhadap PH.
"BN-Pas dijangka terus memainkan sentimen kemelayuan dan Islam dalam mempengaruhi pengundi, PH pula dengan politik pembangunan dan perubahan, dalam PRK kali ini," katanya.