Tunisia masih bergelut selepas sedekad Revolusi Melur

Iklan
Bandar Sidi Bouzid di Tunisia menjadi tempat seorang penjaja buah-buahan, Mohamed Bouazizi membakar diri sebagai protes terhadap tindakan polis pada tahun 2010. - Foto AFP

SELEPAS 10 tahun revolusi Tunisia berlaku, harapan untuk menyaksikan perubahan taraf hidup rakyat di negara tersebut semakin pudar. Hanya sejumlah kecil penduduk yang menyambut ulang tahun kebangkitan penduduk bagi menentang kerajaan autokratik di bandar Sidi Bouzid.

Dalam kejadian itu, seorang penjaja sayur-sayuran dan buah-buahan, Mohamed Bouazizi yang berusia 36 tahun membakar dirinya sendiri pada 17 Disember 2010 sekali gus menyebabkan berlakunya apa yang dikenali sebagai Arab Spring sehingga merebak di negara-negara Arab dan Afrika Utara.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tindakan Mohamed yang membakar dirinya akibat marah setelah diganggu anggota-anggota polis ketika berniaga telah mencetuskan Revolusi Melur sehingga menyebabkan 300 orang meninggal dunia.

Mohamed bertindak membakar diri bagi menunjukkan tanda protes selepas sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijualnya dirampas oleh anggota-anggota polis kerana dia gagal untuk mendapatkan permit jualan daripada pihak berkuasa.

Mohamed meninggal dunia selepas dia membakar dirinya kerana protes ke atas pihak berkuasa.

Iklan

Polis dan pihak pemeriksa pasar yang mengetahui dia berniaga tanpa pemit kadangkala akan meminta rasuah daripadanya.

Jika tidak, anggota polis itu dikatakan akan merampas buah-buahan dan sayur-sayuran daripadanya.

Iklan

Selepas tidak menghabiskan pembelajaran di sekolah tinggi, dia menjadi penjaja di tepi jalan dengan menggunakan padatinya sejak berumur 10 tahun.

Mohamed meninggal dunia akibat kecederaan teruk tetapi ketika dirawat di hospital bekas Presiden Tunisia yang kemudiannya terpaksa meletakkan jawatan akibat kebangkitan rakyat, Zine El Abidine Ben Ali turut meluangkan masa melawat mangsa.

Dalam revolusi itu, Zine El Abidine yang telah lebih 20 tahun memerintah negara berkenaan dan mentadbir seperti seorang diktator tetapi akhirnya bertindak meletakkan jawatan akibat tunjuk perasaan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya yang korup.

Beliau kemudian meninggalkan tanah airnya untuk menetap di Arab Saudi.

Kebangkitan penduduk yang dikenali sebagai Arab Spring turut berlaku di Mesir, Syria, Bahrain, Libya dan Maghribi.

Hanya Mesir menyaksikan Presidennya iaitu Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan pemimpin di Libya, Muammar Gaddafi mati dibunuh oleh rakyatnya sendiri manakala Syria masih terlibat dalam peperangan saudara.

Tunisia mengalami krisis politik apabila Perdana Menterinya sering bertukar. - Foto AFP

Namun, walaupun Tunisia dipuji kerana berjaya melakukan perubahan pemerintahan kepada sistem demokratik dengan wujudnya kebebasan berucap dan pilihan raya yang telus, negara tersebut masih diselubungi dengan krisis ekonomi dan rasuah.

Menurut AFP, negara tersebut mengalami masalah pengangguran yang melebihi 15 peratus sekali gus mengecewakan golongan muda manakala nilai gaji pula telah berkurangan disebabkan inflasi.

Kekurangan pekerjaan telah menyebabkan ramai golongan muda bertindak meninggalkan negara tersebut dengan harapan akan memperoleh masa depan yang lebih baik di luar negara.

Ketidaktsbilan politik di Tunisia juga telah menjejaskan harapan bagi melaksanakan perubahan-perubahan asas di negara tersebut.

Baru-baru ini, akhbar Asharq Al-Awsat melaporkan Parlimen negara itu meluluskan bajet dengan defisit diramalkan berjumlah lapan bilion dinar (RM11.97 bilion) melebihi tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Perbelanjaan negara akan melibatkan sebanyak 41 bilion dinar (RM61.32 bilion) manakala pendapatan pula hanya berjumlah 33 bilion dinar (RM49.36 bilion).

Bajet itu juga menetapkan ramalan harga minyak adalah pada AS$45 (RM181.60) untuk satu tong dan pertumbuhan ekonomi adalah sekitar empat peratus pada tahun depan.

Gambar fail menunjukkan kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunis, Tunisia pada Januari 2011. - Foto AFP

Situasi menjadi lebih teruk lagi ekoran masalah pandemik coronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini yang menyaksikan banyak negara melaksanakan perintah 'lockdown' untuk mengekang penularan Covid-19.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Hichem Mechichi berdepan desakan yang meminta beliau meletakkan jawatan ketika memberikan penghormatan terakhir kepada seorang doktor yang terbunuh dalam kemalangan di sebuah hopsital di bandar Jendouba.

Doktor itu meninggal dunia selepas dia terjatuh ke dalam sebuah lubang ketika pintu lif terbuka.

Justeru, ribuan kakitangan perubatan menunjuk perasaan di Tunisia dan mendakwa berlaku rasuah dalam kejadian itu.

Mechichi diumumkan oleh Pejabat Presiden Kais Saied untuk menjadi Perdana Menteri pada Julai lalu selepas Elyes Fakhfakh meletakkan jawatan.

Elyas berdepan dengan siasatan berhubung konflik kepentingan dan mempunyai hubungan tegang dengan parti terbesar di Parlimen, Ennahdha sejak pilihan raya negara itu diadakan dan terpaksa menghadapi usul undi tidak percaya terhadap pentadbirannya di Parlimen.

Walaupun Revolusi Melur sudah tiada, namun mogok, sekatan jalan raya dan protes semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu. Rakyat Tunisia kini mendesak untuk lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan, suasana tempat kerja yang lebih baik dan penambahbaikan perkhidmatan awam. - Agensi