25 industri pembuatan di Selangor dikompaun

Iklan
Gambar hiasan 123RF

SHAH ALAM - Sebanyak 25 industri pembuatan dikenakan kompaun RM1,000 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ekoran gagal mematuhi sebahagian prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kompaun itu dikeluarkan dalam Ops Pematuhan SOP MKN Sektor Pembuatan yang dijalankan jabatan tersebut ke atas 53 industri di negeri ini pada 25 November hingga Isnin lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebanyak 14 lagi industri pembuatan yang diperiksa juga telah diarah tutup selama tujuh hari mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana gagal mematuhi kebanyakan SOP tersebut.

"Bagaimanapun, 14 industri itu dibenarkan beroperasi semula selepas pemeriksaan pegawai penguat kuasa mendapati mereka telah mematuhi SOP MKN.

Iklan

"Sebanyak 14 lagi industri yang diperiksa didapati mematuhi semua SOP MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Sha’ari berkata, antara ketidakpatuhan SOP MKN yang dikesan dalam operasi tersebut ialah kegagalan membuat saringan suhu ke atas pekerja dan pelawat setiap hari, tidak menyediakan amalan penjarakan fizikal pada lantai, meja dan kerusi, gagal mengemukakan bukti mengadakan sanitasi tiga kali sehari di kawasan umum serta tidak menyediakan cecair pensanitasi tangan.

Iklan

Justeru, katanya, pengusaha industri pembuatan di Selangor digesa mematuhi semua SOP MKN secara berterusan dan menyeluruh bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19.

Orang ramai juga boleh membuat aduan berkaitan ketidakpatuhan SOP MKN dengan menghubungi JKNS di talian 03-51237333 atau melayari laman web www.jknselangor.moh.gov.my. - Bernama