BEBERAPA hari lalu, Amerika Syarikat (AS) digegarkan dengan satu lagi kejadian tembakan rambang.
Insiden di luar sebuah gereja di New York itu berlaku ketika orang ramai mula beredar selepas menyaksikan persembahan nyanyian ‘carol’.
Mujur tiada mangsa yang cedera. Satu-satunya kematian adalah membabitkan si penyerang.
Namun, naratif media Barat bagi menggambarkan insiden itu ‘biasa-biasa’ sahaja.
Tiada istilah pengganas digunakan, tiada mana-mana kumpulan pengganas dikaitkan dan paling penting, serangan itu tidak bermotifkan keganasan.
Media Barat hanya melabelkan si penyerang, lelaki kulit putih dan beragama Kristian sebagai ‘penembak’ dan ‘lelaki bersenjata dengan rekod jenayah lampau’.
Ya, dia bukan pengganas biarpun pemeriksaan lanjut pada beg sandang dibawanya mengandungi gasolin, tali, wayar dan beberapa bilah pisau.
Sikap double standard media Barat juga terserlah apabila melaporkan insiden kumpulan militia yang lengkap bersenjata mengepung bangunan Capitol di Lansing, Michigan sebagai bukan tindakan pengganas.
Dylann Roof yang melepaskan tembakan di sebuah gereja komuniti kulit hitam di Charleston, South Carolina bukan pengganas.
Lelaki tua, Stephen Paddock yang menembak mati 59 pengunjung festival muzik di Las Vegas juga bukan pengganas. Tetapi naratif serangan sudah pasti berubah 360 darjah sekiranya penyerang adalah beragama Islam.
Sebagai contoh, media Barat dengan pantas melabelkan Omar Mateen lelaki yang menembak mati 50 pengunjung sebuah kelab gay di Port St Lucia, Florida pada 2016 sebagai pengganas biarpun serangan itu lebih terarah kepada jenayah kebencian. Kerana bagi media Barat, penyerang beragama Islam umpama ‘MSG’ dalam laporan berita mereka.
Mungkin sudah tiba masanya, istilah double standard ditukar kepada triple standard atau quadruple standard kerana laporan media Barat terang-terangan berat sebelah, tidak adil dan prejudis jika pelakunya membabitkan orang Islam.